KOTA BHARU: Ketika Umno menampilkan ramai calon tidak dikenali dalam misi mengangkat Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri Besar BN, PAS pula mengentengah ramai calon baru.
Ada di antaranya pensyarah universiti, doktor perubatan, peguam, ahli perniagaan pegawai kanan kerajaan, pengetua dan ulama.
Mereka diturunkan di peringkat Dun bagi menggantikan beberapa wakil rakyat veteran yang mengundurkan diri.
Selain itu ada juga bekas wakil rakyat yang bertukar kerusi bertanding di kerusi parlimen bagi membolehkan suara rakyat diketengahkan ke peringkat nasional.
Jurucakap Perhubungan PAS Kelantan berkata, calon-calon tersebut dikenali umum dan sebahagian besar tinggal di kawasan yang akan ditandingi mereka.
Katanya, saringan pemilihan calon dilakukan sejak tahun lepas, di mana dikemukakan bermula dari peringkat akar umbi.
“Nama-nama tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Machang malam ini.
“Program tersebut bermula solat Maghrib, munajat, solat Isya dan kemudian diikuti majlis pengisytiharan calon,” katanya di sini.
Ceramah perdana pula akan menampilkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Program tersebut bertema “Kekalkan Kelantan Ubah Putrajaya”.
Dijangka puluhan ribu rakyat Kelantan bakal membanjir padang Majlis Daerah Machang malam ini, mengulangi sejarah yang pernah dicatat sebelum ini.
Sementara itu kemelut dalaman Umno semakin terserlah selepas nama-nama calon diumumkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan semalam.
Difahamkan banyak kumpulan yang tidak puas hati dengan calon yang ditampilkan. Mereka sebelum ini dikatakan akan berhimpun di hadapan pejabat Perhubungan Umno Kelantan, namun tidak ramai hadir kerana hujan lebat.
Malah suara-suara tidak puas hati mulai kedengaran di Rantau Panjang dan Kubang Kerian apabila ketua bahagian di kawasan tersebut dipinggirkan.
Ekoran masalah dalaman tersebut kemungkinan besar calon PAS di Rantau Panjang dan Kubang Kerian tidak berdepan laluan sukar bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Di Gua Musang pencalonan semula Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan beberapa anggota jawatankuasa Umno Gua Musang melahirkan rasa tidak puas hati.
Malah ada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan