11 Disember 2012

PAS usul tangguh sidang DUN bincang blok Bertam

27 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA TERENGGNU: PAS melalui usul di Dewan Undangan Negeri Terengganu mengajak Adun Terengganu termasuk dari Umno untuk membincangkan siapa sebenarnya memiliki kawasan carigali minyak Blok PM 307 Bertam.

Ini kerana, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengisytiharkannya terletak di bawah negeri Pahang sedangkan Lundin Oil yang membuat kerja-kerja carigali mengatakan ia terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.


Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi (gambar atas) dalam usulnya meminta persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bersidang sekarang ditangguhkan untuk membincangkan usul ini.

Katanya, ia hendaklah ditangguh mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu  kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam yang terletak di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang yang kini sah menjadi milik rakyat Terengganu.

Hak tuntutan ini, katanya, diperkuatkan lagi dengan jawapan yang telah diberikan oleh Syarikat Lundin Oil yang merupakan syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali.

Mereka memperakui bahawa Blok PM 307 Bertam ini adalah sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Bagi beliau, isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah berlaku suatu pencabulan hak yang boleh menggugat amalan sistem Federalisma yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Dewan yang mulia ini bertanggungjawab membincangkan tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak yang mengistiharkan pada  30 Oktober lalu bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti minyak di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Medan minyak itu, kata Najib, terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Perkara ini, kata Dr Syed Azman, adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila hak negeri Terengganu ini dinafikan dengan sewenang-wenangnya, ia akan menghilangkan keyakinan rakyat Terengganu terhadap pemerintah serta kredibiliti pemimpin negara.

Bagi beliau, tindakan ini jelas merampas hak-hak rakyat negeri Terengganu yang berpegang kepada semangat Federalisma dan keluhuran perlembagaan negara.

"Ini ditambah lagi dengan tindakan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan yang jelas menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam," tegasnya.

Bagi DR Syed Azman yang merupakan Penolong Setiausaha Agung PAS, sewajarnya Dewan yang mulia ini merakamkan penghargaan yang setingginya kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengasas Petronas.

Beliau telah menunjukkan sifat seorang negarawan tulen dan berani berdiri dipersada politik tanahair bagi membetulkan fakta yang diselewengkan khususnya dalam perkara pembayaran royalti pertoleum kepada negeri Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.

Menurut beliau juga, perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.

Pengumuman ‘anugerah wang ehsan’ oleh Perdana Menteri kepada negeri Pahang ini telah membuka kembali terlalu banyak persoalan besar.

"Apakah perjanjian asal diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975 itu sudah tidak diterima-pakai lagi?" soal beliau dalam usul itu.

Beliau juga bertanya, apakah setiap penemuan hasil minyak termasuk di Sabah dan Sarawak kini boleh di agih-agihkan kemana-mana sahaja negeri hanya dengan kuasa mutlak Perdana Menteri? Dan apakah kesudahan kepada tuntutan royalti minyak kepada negeri Terengganu?

Katanya, tuntutan royalti minyak di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307 bukan lagi persoalan sentimen serta permainan politik sempit semata-mata, "tetapi berkaitan dengan persoalan maruah dan hak kita sebagai rakyat Terengganu  Darul Iman, negeri yang berdaulat dan negeri yang berpayungkan Tuanku Al-Sultan kita, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud."

"Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan," tegas beliau dalam usulnya.

harakah/-

Tiada ulasan: