09 Oktober 2012

Hanya Mahathir yang kenal Soros

23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad semakin melalut apabila melaungkan amaran kepada rakyat bahawa undi untuk pembangkang adalah umpama undi untuk jutawan George Soros.

“Maka dengan tiba-tiba pula nama George Soros melonjak dan kembali bergema dalam kancah politik Malaysia,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya,  Mahathir kelihatan seperti panik, jiwanya seolah-olah kacau dan merisaukan sesuatu sehingga terbawa-bawa dengan tuduhan dan amaran seperti ini.

Yang menghairankan, ujar beliau pemimpin Umno BN lainnya kelihatan relaks dan bersahaja menghadapi PRU13, mengapa pula Mahahtir yang kelihatan terdesak.

Menurutnya, mungkin pengalaman sebagai pemimpin nombor satu negara ini dapat membayangkan di fikiran Tun Dr Mahahtir bahawa BN akan berkubur selepas PRU13 dan masa depannya juga berada dalam bahaya.

Bagi Pakatan Rakyat, katanya tuduhan tersebut tidak membawa makna yang besar kerana PR tidak mengenali individu itu, apatah lagi hendak berbaik dan meminta pertolongan dengannya.

“Lebih banyak tuduhan dilemparkan, semakin banyak persoalan yang timbul, dari sumber mana Tun Dr Mahathir boleh mengaitkan George Soros dengan PR. Apa pula kaitan agenda Yahudi yang dibawa oleh George Soros dengan agenda rakyat yang dibawa oleh Pakatan Rakyat,” ujar Riduan dalam satu kenyataan.


Setahu rakyat,katanya lagi yang ada bukti bergambar dan menjalin hubungan dengan George Soros adalah Tun Dr Mahathir sendiri.

“Beliau dalam suatu majlis kelihatan bergambar sambil berbual mesra dengan individu tersebut, tetapi yang dituduh menjalin hubungan mesra dengan individu tersebut adalah PR pula,” katanya.

Nampaknya, semakin banyak amaran dilaungkan oleh Tun, semakin kelam UMNO pada pandangan mata rakyat.

“Sebelum ini, dituduh PR sebagai ‘malaikat yang dikenali’, dan mengaku partinya sebagai ‘syaitan yang tidak dikenali’, kini muncul pula Soros dan kaitan dengan PR. Selepas ini apa pula amaran Tun?” katanya.

Menurutnya lagi, PR sebenarnya tidak perlu sentuhan George Soros untuk menumbangkan Umno BN kerana sudah memiliki ramai pakar dan ahli politik yang hebat dan tahu sepak terajang politik negara.

Malah, tambanya PR juga memiliki ramai dermawan ikhlas yang sanggup menyumbangkan harta dan wang ringgit demi perjuangan membela rakyat.

PR juga, ujar Riduan sudah menyediakan pemimpin muda yang mampu menggalas tugas negara pada bila-bila masa diperlukan.

“Seeloknya Tun Dr Mahathir menginsafi bahawa beliau telah melewati zaman kegemilangannya. Zaman beliau bermain politik melalui tindakan agresif dengan tuduhan berat tanpa fakta seperti ini sudah berlalu,” ujarnya.

Hari ini, ujar beliau rakyat sudah matang dan semakin celik maklumat serta tahu isu sebenar, rakyat lebih kenal Pakatan Rakyat berbanding Tun dan tahu siapa di belakang PR.

“Mungkin di dalam negara ini rakyat akan mengakui hanya Tun Dr Mahathir kenal George Soros!” katanya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: