BARAM
- Menurut laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini lebih daripada
6,000 anggota masyarakat Orang Ulu dari lebih 350 rumah panjang di
Tinjar, Baram pasti akan menikmati jalan yang baik apabila jalanraya
yang bernilai RM101 juta sepanjang 35.7 kilometer siap pada tahun 2013
dalam kawasan tersebut.
Keratan
akhbar “The Borneo Post” bertarikh 10hb Januari 2009 dengan tajuk
“RM150 million allocated for Lapok road: Lihan” juga di rujuk.
Jalan Lapok dari Beluru Bakong ke Tinjar yang dinaiktaraf telah digunakan sejak tahun lapan puluhan lagi.
Keadaan
jalan ini masih tidak banyak berubah dan masih dalam keadaan teruk
seperti beberapa tahun yang lalu. Inilah satu-satunya cara perhubungan
dan pengangkutan darat untuk masyarakat di ulu Baram ke
bandar-bandar di Sarawak.
Sudah bertahun-tahun keadaan jalan ini berlumpur, banyak lubang sebesar periuk dan mudah ditenggelami air semasa musim hujan. Jalanraya rosak akibat kenderaan berat yang berulang-alik membawa barang muatan yang melebihi had yang dibenarkan.
Laporan
Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini di parlimen mendapati
projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak
bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek
sakit” dan perlu diberikan perhatian.
Laporan
itu juga mendapati projek pembinaan jalan yang telah siap tidak
mengikut spesifikasi kontrak dan kualiti pembinaan jalan, keselamatan
dan keselesaan jalan tidak memuaskan pengguna jalan raya hasil daripada
maklum balas yang diperoleh dari orang ramai.
Menurut
laporan tersebut lagi “Kebanyakkan projek yang tidak mengikut piawaian
tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah seperti jalan terlalu
berbukit, turapan bitumen nipis, jalan tidak rata, jalan cepat rosak dan
berlubang.”
Sejak
dua tahun kebelakangan ini, jalanraya ini telah menjalani kerja-kerja
naik taraf yang dilakukan oleh beberapa kontraktor. Walaupun terdapat
juga sebahagian jalanraya tersebut sudah dibaikpulih tetapi masih banyak
lagi yang masih dalam keadaan yang tidak sesuai untuk pengguna
jalanraya. Terdapat banyak jalan yang sempit dengan selekoh tajam dan
laluan lorong kecil di sepanjang jalan dimana ianya licin, beralun,
curam, banjir dan lubang periuk besar.
Walau
bagaimanapun, perkembangannya agak perlahan dengan banyak halangan yang
lain datang / timbul di sepanjang jalan dimana ianya sangat berbahaya
kepada pengguna jalanraya sekiranya mereka tidak berhati-hati.
Penduduk Harap Kerajaan Menepati Janji
Menurut
penduduk Baram yang tinggal di ulu Baram, mereka amat menghargai usaha
yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk menaik taraf jalan tersebut tetapi
mereka mahu jalan tersebut siap secepat mungkin dan ini akan
mempercepatkan perjalanan mereka yang memakan masa berjam-jam untuk
sampai ke bandaraya Miri umpamanya.
Mereka
mahu jalanraya tersebut siap secepat mungkin tanpa ada
halangan-halangan baru yang diwujudkan, mereka mahu halangan tersebut
dapat dikurangkan jika boleh atau perlu dihapuskan segera. Mereka sudah
terlalu lama menderita akibat menggunakan jalan yang teruk selama ini.
Janji mesti ditepati.
Kita
mengesa agar pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan segera membina
dan memperbaiki jalanraya tersebut untuk kemudahan penduduk Baram.
Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan