25 Mac 2013

Stor kilang proses tisu musnah dalam kebakaran

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


stor kilang proses tisu

Keadaan stor kilang proses tisu yang musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
KRUBONG - Tidur malam sepasang suami isteri terganggu apabila pintu pagar rumah mereka digegarkan jiran memaklumkan sebuah kilang dengan jarak tidak sampai 10 meter terbakar, awal pagi semalam.

Ajidah Bebbi Raja Hussain, 28, berkata, dia dan suaminya yang kemudian keluar terkejut melihat api di sebelah rumahnya sebelum bergegas menyelamatkan anak lelaki berusia setahun empat bulan yang sedang tidur jam 2 pagi.

Menurutnya, sejak itu dia dan suami tidak tidur hingga siang kerana bimbang keselamatan mereka tiga beranak yang tinggal di rumah teres di Taman Seri Krubong sejak lima bulan lalu.

“Sebelum itu, jiran kami ada bunyikan hon motosikal tetapi kami tidur semula selepas memikirkan mungkin tiada apa-apa berlaku namun apabila pintu pagar digegarkan, kami berdua segera keluar sebelum dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

“Saya segera mengambil anak lelaki saya lalu diserahkan kepada jiran untuk dijaga sementara saya dan suami menyelamatkan sijil nikah, surat beranak selain kereta dan motosikal yang berada di hadapan rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 15 rumah berhampiran daripada hangus apabila sebuah stor kilang proses tisu musnah terbakar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Krubong di sini.

Timbalan Penguasa Bomba negeri Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya juga berjaya menghalang api daripada merebak ke sebuah blok yang memproses tisu berharga RM1 juta ringgit.

“Sebanyak tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, Jalan Kubu, Ayer Keroh dan Tangga Batu dengan kekuatan anggota seramai 36 orang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 2.22 pagi sebelum jentera pertama tiba 13 minit kemudian.

“Api yang sudah marak ketika kami sampai bagaimanapun berjaya dikawal jam 2.44 pagi dengan bantuan air dari kolam dan pili bomba taman perumahan berhampiran,” katanya.

Kamarulzaman berkata, kilang tersebut tidak beroperasi ketika terbakar dan difahamkan terdapat 20 pekerja warga asing cuba memadamkan sendiri ketika api kecil namun tidak berjaya malah api semakin besar sebelum menghubungi pihak bomba

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian kilang yang telah berusia 26 tahun ini masih dalam siasatan dan kerja-kerja pemadaman api masih dijalankan sehingga jam 4.30 petang hari ini (semalam),” katanya.

Sinar harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Macam tahu-tahu je UPU aku nak beri tisu pada para pengundi untuk lap jari lepas bubuh dakwat. Manalah tau SPR tak sediakan tisu menyebabkan pengundi yang cuai mengotorkan kertas undi seterusnya menyebabkan undi rosak.