25 Mac 2013

Hishammuddin mesti kutuk ugutan ‘Bunuh Tian Chua’, kata Ambiga

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Ambiga: Hishammuddin harus memperbetulkan keadaan. — Gambar fail Saw Siow Feng
KUALA LUMPUR — Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini mendesak Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk mencela penyokong Umno kerana mengancam untuk membunuh Chua Tian Chang dari PKR, atau berisiko disenarai hitamkan oleh pemantau pilihan raya Bersih 2.0 kerana membiarkan keganasan politik.

Pekerja parti tersebut menjeritkan “Bunuh Tian Chua” apabila naib presiden Umno itu menggesa mereka bersatu di belakang Barisan Nasional (BN) dan “menghapuskan pengkhianat” seperti naib presiden PKR — lebih dikenali sebagai Tian Chua di mana sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR) telah dituduh menghasut serangan Sulu terhadap Sabah.
“Dia (Hishammuddin) harus ke depan dan memperbetulkan keadaan, dan menyatakan beliau tidak menyokong respon dari hadirin,” kata Ambiga kepadaThe Malaysian Insider hari ini.
“Beliau harus tampil ke hadapan untuk menentang keganasan politik oleh semua pihak… jika tidak, beliau akan masuk kedalam senarai ahli politik yang menggalakkan keganasan,” tambah pengerusi bersama Bersih 2.0 itu.
Ambiga berkata Sabtu lepas mana-mana calon Pilihan Raya 2013 yang bertanggungjawab terhadap insiden keganasan semasa acara politik akan “dinamakan dan dimalukan” oleh Bersih 2.0 dalam media sosial seperti Twitter.
Hishammuddin mengakui semalam keganasan politik dalam negara semakin memburuk, tetapi menuduh PR yang mengeksploitasi keadaan untuk menimbulkan kebencian terhadap kerajaan dan polis.
Beliau juga menjangkakan lebih banyak insiden keganasan mungkin berlaku semasa tempoh berkempen Pilihan Raya 2013, yang dijangkakan akan diadakan beberapa minggu lagi, kerana kekurangan tenaga dalam pasukan polis.
Ambiga mengatakan hari ini Hishammuddin sepatutnya menghentikan hadirin secara serta merta apabila mereka mengancam Tian Chua, mengatakan naib presiden Umno itu mempunyai kawalan terhadap penyokong partinya.
“Ini adalah intimidasi. Apabila ianya ugutan untuk membunuh, ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 503, Kanun Keseksaan yang berurusan dengan intimidasi jenayah. Berbanding orang lain, beliau seharusnya tahu tentang itu,” kata bekas presiden Majlis Peguam itu.
“Ini termasuk kepada semua diluar sana yang berkempen, bercakap kepada penyokong mereka. Mereka harus menjadikannya sangat jelas tidak akan menyokong sebarang keganasan dan perlakuan ganas. Saya mengharapkan semua yang bertanding dalam pilihan raya untuk berkelakuan seperti pemimpin dan menunjukkan contoh yang baik,” tambah Ambiga.
Peguam tersebut juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengutuk ancaman bunuh terhadap Tian Chua, membangkitkan Najib telah menandatangani ikrar perlakuan beretika dalam Pilihan Raya 2013.
“Ini adalah sebahagian daripada perlakuan beretika dalam berkempen. Adalah penting kenyataan dibuat bahawa mereka yang berkempen mesti melakukannya secara bertanggungjawab dan beretika,” kata Ambiga.
Ambiga mengatakan Sabtu lalu telah menjadi amalan biasa pemimpin kebangsaan untuk menjauhkan diri mereka dari tindakan keganasan oleh penyokong mereka walaupun bersetuju dengan etika semasa pilihan raya.
Najib bersama dengan pemimpin parti komponennya baru-baru ini telah menandatangani Ikrar Pilihan Raya Transparency International — Malaysia, langkah yang mereka katakan menunjukkan kesungguhan untuk berlawan secara adil dalam pilihan raya akan datang.
Tetapi Najib dan gabungan yang dipimpinnya dikritik kerana mendiamkan diri berhubung beberapa serangan ganas ke atas pembangkang yang didakwa dilakukan oleh penyokong BN atau ahli Umno, parti Melayu tunjang gabungan tersebut.
Insiden keganasan yang telah berlaku sejak Januari tahun ini termasuk serangan fizikal ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Johor di mana ahli Umno dikatakan membaling batu, kayu dan mercun.
Pada insiden lain di Pahang bulan lepas, anak perempuan Anwar, Nurul Izzah Anwar, hampir diserang secara fizikal oleh penyokong Umno dan walaupun penyokong beliau telah berjaya untuk mengelakkannya, naib presiden PKR itu terus didera secara lisan.
Pada 12 Mac, ahli Umno disyaki terlibat dalam satu serangan ganas terhadap pembangkang, termasuk ugutan membakar ibu pejabat PKR beberapa hari selepas pemimpin parti mendakwa diserang penyokong kerajaan di Melaka.
Ahli-ahli dari kumpulan sayap kanan itu melontar batu, kayu dan kon trafik ke arah bangunan tersebut. Beberapa telah membakar bendera parti. Kejadian itu berlaku di bawah pemerhatian polis. Walau bagaimanapun, tiada tindakan diambil.
The Malaysian Insider/-

Tiada ulasan: