25 Mac 2013

PAS desak Najib arah Taib Mahmud bercuti

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengarahkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud bercuti supaya membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat pendedahan video Global Witness berhubung isu penerokaan hutan dan pembalakan di negeri itu.

Pada masa yang sama, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Zulkefly Mohamad Omar mendesak SPRM supaya segera menyiasat pendedahan yang dibuat sekalipun tiada laporan dibuat mengenainya.

Katanya lagi, kakitangan kerajaan negeri yang didakwanya terlibat dalam tuduhan salah urus tadbir itu termasuk ketua menteri Sarawak perlu mengambil cuti buat sementara waktu agar siasatan yang adil dan menyeluruh dapat dijalankan oleh suruhanjaya itu.

"(SPRM) jangan tunggu lagi. Pergi (siasat) sekarang, walaupun tak buat lagi laporan.

"Kita akan buat laporan, jika tiada siasatan. Atau PM arahkan (ketua menteri) cuti sementara. Kita nak melihat tranformasi kerajaan khususnya melibatkan rasuah," katanya.

Bercakap dalam sidang media pagi ini, Zulkefly juga berkata setakat ini perdana menteri juga masih belum menjawab berhubung pendedahan tersebut, bahkan penafian juga masih belum dibuat olehnya.

"Kalau tak betul saman. Tetapi setakat ini tak ada... Kita tak nampak pejabat ketua menteri digeledah atau (Taib) diminta bercuti.

"Kalau di Selangor (bawah Pakatan Rakyat), segera tindakan diambil. Kalau tidak betul buat penafian atau saman Global Witness," katanya yang juga ahlin jawatankuasa PAS Pusat.

Zulkefly berkata pendedahan yang dibuat Global Witness melalui penyamaran sebagai pelabur antaranya melibatkan dakwaan habuan kepada ketua menteri kerana kelulusan lesen pertanian, dakwaan korupsi dari perjanjian tanah dan dakwaan pembabitan peguam tempatan yang didakwa membantu transaksi yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun dilaporkan Taib Mahmud memberi amaran supaya rakyat tidak mudah percaya kepada sesiapa yang mendakwa bertindak sebagai agennya untuk membeli tanah di Sarawak dan SPRM juga dilaporkan akan menyiasat mengenai perkara itu. 

Ditanya bila pihaknya akan membuat laporan berhubung perkara itu, Zulkefly berkata pihaknya akan berbuat demikian dan tempoh seminggu.

"Selepas itu kita akan buat roadshow di seluruh mengenai (menjelaskan isu ini)," katanya termasuk berbincang dengan peguam untuk meneliti tindakan saman terhadap kerajaan negeri.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: