27 September 2011

Kes Ahmad Sarbaini gagal hapus kemarahan rakyat

27 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan Ahmad Sarbaini Mohamed mati kerana jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menghapuskan kemarahan umum, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi apa yang nyata, keputusan itu gagal menghapuskan kemarahan umum yang meluap-luap apabila terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di premis SPRM.

"Dalam masa yang singkat, dua orang terbunuh di premis SPRM, iaitu Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock dan apa jua keputusan mana-mana institusi sekalipun tidak akan mampu meredakan perasaan marah masyarakat terhadap SPRM dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Salahuddin juga tidak menolak bahawa sebahagian besar rakyat semakin tidak sabar menanti tarikh pilihan raya untuk membalas dendam dan menghukum BN berikutan keputusan-keputusan berkaitan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini dan Teoh di premis SPM itu.

"Sebelum ini, rakyat marah apabila media-media yang dilihat pro Umno dan BN memberi gambaran bahawa Ahmad Sarbaini membunuh diri.

"Terbaru, ada pula blog pro Umno dan BN yang dilihat mengaitkan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini di premis SPM itu dengan video seks.

"Rakyat yang marah berikutan tuduhan-tuduhan dan keputusan-keputusan berkaitan kedua-dua kes itu pastinya tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya untuk menghukum Umno dan BN habis-habisan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga bersetuju dengan peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh yang menegaskan SPRM seharusnya dipertanggungjawabkan kerana tragedi terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berlaku di premis SPRM.

"Sama seperti terbunuhnya Teoh Beng Hock, bukan sahaja Ahmad Sarbaini terbunuh di premis SPRM malah beliau terbunuh ketika dalam siasatan SPRM," kata Salahuddin sambil menyarankan keluarga dan sahabat Ahmad Sarbaini terus mengadakan solat hajat memohon Allah membuat penentuan yang muktamad.

Ketika mengulas keputusan mahkamah koroner itu, Awtar juga berkata adalah sukar untuk dipercayai Ahmad Sarbaini memanjat pintu untuk melarikan diri.

"Apa perlunya dia buat begitu? Dia datang dengan kerelaannya sendiri. Lebih dari itu, tidak ada kesan cap jari yang boleh dikesan berdekatan pintu berkenaan dan mereka tidak mengambil pakaian ketua SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Fauzi (Husin), untuk melakuan ujian DNA," kata Awtar yang juga memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman.

Dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, teori bahawa SPRM terlibat dengan kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya.

Sebelum terbunuh, Ahmad Sarbaini dilaporkan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: