25 Oktober 2011

Bina bazar rakyat bantu tingkat daya saing IKS

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Pihak kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta memperbanyakkan bazar rakyat bagi membantu pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.

Dalam masa yang sama, kementerian terbabit disaran supaya melakukan pelbagai usaha bagi mempertingkatkan daya saing di kalangan pengusaha IKS untuk membolehkan mereka maju seiring dengan pencapaian hypermarket.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib (gambar) berkata, kini para pengusaha IKS menghadapi kerumitan yang amat sangat sehingga sesetengahnya terpaksa "gulung tikar" ekoran persaingan sengit dengan hypermarket.

Menurutnya, untuk membolehkan mereka memasarkan barangan yang dikeluarkan di hypermarket pula, mereka terpaksa menghadapi cabaran getir disebabkan deposit terlalu tinggi yang dikenakan oleh pihak terbabit.

Katanya, fenomena itu jika tidak diatasi akan menyebabkan lebih banyak IKS yang akan gulung tikar pada masa akan datang.

"Jadi untuk membolehkan IKS terus hidup, pihak kementerian perlu membina bazar rakyat dan mempertingkatkan daya saing untuk mereka," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau menyarankan pihak kementerian mengadakan sistem yang lebih konkrit bagi pengeksportan produk halal hub terutama ke negara-negara Timur Tengah.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan usaha-usaha lebih berkesan yang akan dilakukan bagi membantu pengusaha IKS memasarkan produk mereka.

Pertanyaan itu dikemukakan memandangkan ruang pasaran yang amat terhad terhadap pengusaha-pengusaha IKS sehingga mereka hampir tidak mendapat tempat terutama di pasaraya-pasaraya besar.

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim turut menghargai pendedahan tersebut.

IMenurut Rohani, ia merupakan satu maklum balas yang diperlukan oleh pihak kementerian untuk membolehkan pihaknya menyusuli dengan langkah-langkah yang sewajarnya bagi kepentingan IKS di tanah air.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: