24 April 2012

T'ganu gugur saman royalti minyak secara senyap

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Umno telah menggugurkan saman royalti minyak yang difailkan 11 tahun yang lalu oleh kerajaan negeri di bawah PAS, lapor The Edge Financial Daily (TEFD).


(GAMBAR FAIL: Pemimpin kerajaan Terengganu yang mengetuai tindakan saman kepada Petronas dalam sidang media mereka untuk mengumumkan tindakan itu)

Bagaimanapun, TEFD berkata tiada butiran lanjut mengenai penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara kerajaan Terengganu dengan Petronas dan kerajaan persekutuan dalam permohonan yang difailkan 21 Mac yang lalu.

Seorang jurucakap Petronas berkata kes penyelesaian luar mahkamah tersebut dilakukan atas “menghormati persetujuan pembayaran royalti minyak dan gas.”

TEFD juga menjangkakan desakan untuk memaparkan segala butiran mengenai pembayaran royalti minyak dan cara kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

“Akan wujud tekanan pada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mendedahkan butiran penyelesaian luar mahkamah dan bagaimana pembayar kepada negeri di bawah tuntutan royalti akan digunakan,” akhbar harian tersebut memetik seorang peguam sebagai berkata.

Selepas enam bulan PAS menawan Terengganu iaitu pada tahun 2000, perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk menarik balik bayaran 5 peratus royalti minyak kepada negeri penyu tersebut.

Sebelum itu, sejumlah RM7.13 bilion yang dipersetujui dengan kerajaan negeri telah dibayar selama 22 tahun.

Duit royalti itu telah ditukarkan kepada wang ehsan, yang diberikan terus kepada pemimpin Umno di negeri Terengganu dan bukannya badan-badan di bawah kerajaan negeri.

Wang ehsan menjadi sebutan popular di zaman Tun Abdullah Badawi apabila tuduhan-tuduhan timbul bahawa dana tersebut dihabiskan dalam Piala Monsun dan Masjid Kristal di Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu telah menuntut sebanyak RM2.8 bilion untuk bayaran royalti selama 9 tahun semenjak bayaran royalti dihentikan pada tahun 2000. Tawaran kerajaan persekutuan sebanyak RM1.7 bilion telah ditolak.

Jirannya, Kelantan turut menfailkan saman yang sama pada Mei 2010 terhadap kerajaan persekutuan untuk sumber minyak dan gas yang digali daripada penairannya.

Mei lepas, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mendapat RM938 juta daripada kerajaan persekutuan sebagai bayaran royalti.

Beliau berkata bayaran 5 peratus tersebut dibuat berdasarkan perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan persekutuan, yang juga ditandatangani oleh kerajaan negeri Kelantan.

Keputusan untuk membayar royalti kepada Terengganu tetapi tidak pada Kelantan oleh kerajaan persekutuan telah dikritik secara hebat kerana telah bercanggah dengan konsep federalisme.

Ekoran langkah terbaru tersebut, TEFD melaporkan para penganalisa politik menjangkakan kerajaan negeri dan persekutuan akan menghadapi tekanan yang besar untuk mendedahkan segala butiran bayaran royalti dan penyelesaian kes luar mahmakah ini.

“Selain itu, ada kesan sampingan yang lain, terutamanya Petronas, yang kini sedang berhadapan dengan saman daripada Kelantan atas keengganan membayar royalti, kata peguam korporat dan ahli industry,” tambah laporan itu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: