04 Januari 2011

Projek tebatan banjir sudah 10 tahun berlalu

29 Muharam 1432H

RANTAU PANJANG, 3 Jan: Projek tebatan banjir yang membabitkan kos sehingga RM2 bilion kini dicanang kembali selepas projek diuar-uarkan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadi kenyataan.

Ketika merasmikan jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong, Pasir Mas kira-kira 10 tahun lalu Dr Mahathir sebagai perdana menteri mengumumkan kerajaan pusat akan membina projek tebatan banjir RM2 bilion di Kelantan.

Ketika itu lakaran projek RM2 bilion diedar kepada orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan. Dan selepas kira-kira 10 tahun berlalu, projek tersebut difahamkan tidak disenarai dalam rancangan pembangunan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-8, RMK-9 atau RMK-10.

Namun semalam projek itu diuar-uarkan kembali. Kali ini disebut pula Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika melawat mangsa banjir di sini.

Bagaimanapun beliau mengakui projek itu tidak dimasukkan dalam RMK-11 kecuali dalam jumlah yang kecil sahaja.

Mengulas isu berkenaan, Adun Gual Periuk, Mohamad Awang berkata, cadangan membina tebatan banjir sudah lama diuar-uarkan, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

”Malah pengakuan menteri tiada peruntukan bagi membina projek berkenaan menggambarkan tiada kesungguhan kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah banjir di sini.

”Sedangkan di sebelah Thailand benteng bagi mencegah banjir sudah lama dibina. Sebab itu setiap kali hujan lebat di negara jiran, air mudah melimpah di sebelah Rantau Panjang,” katanya di sini.

Sebelum ini seramai 494 penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok di Rantau Panjang berpindah ekoran banjir yang berlaku Sabtu lalu.

Mangsa banjir yang tinggal di sekitar kedai lama Rantau Panjang berpindah ke stesen kereta api.

Mohamad juga berkata, banjir mudah melimpah di kawasan berkenaan kerana sebuah jabatan kerajaan membina pusat kuarantin sehingga menimbuskan laluan air di kawasan terbabit.

”Sebelum ini pada mesyuarat pembangunan di peringkat jajahan Pasir Mas saya sudah bangkitkan perkara itu, namun pembinaan pusat kuarantin diteruskan juga tanpa ada sistem saluran yang sesuai.

”Sepatutnya pembentungan lebih besar dibina bagi mengelakkan air bertakung sehingga menyebabkan banjir,” ujarnya.

Beliau juga berkata, mangsa banjir yang berpindah mendapat bantuan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya penghulu ditugas memantau mangsa banjir bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang disediakan.

Bagaimanapun kata beliau mangsa hanya berada di pusat pemindahan satu malam sahaja dan pulang ke rumah selepas air surut.

Sementara itu anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof bertungkus lumus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang tidak berpindah.

Tiada ulasan: