16 April 2013

Gelombang TOLAK Pahang dikacau di setiap persinggahan

5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Gelombang Tolak di Pahang menggusarkan Umno kerana sambutan anak muda)

PEKAN: Lebih 150 anak muda dan mahasiswa telah menyertai konvoi Gelombang Anak Muda Tolak BN (TOLAK) yang bermula dari Temerloh ke Pekan Ahad lalu.

Konvoi tersebut bertujuan untuk menyebarkan idea anak-anak muda mengenai dalil-dalil mengapa masyarakat harus menolak Umno-BN dalam  PRU13 nanti.

Lebih 4000 helaian risalah berjaya diedarkan. Konvoi bermula seawal 9 pagi singgah mengedarkan risalah dan pidato terbuka di pasar sehari Temerloh, pasar sehari Maran, kawasan kampung di Maran, Pantai teluk Cempedak Kuantan dan yang terakhir di pasar malam Peramu Jaya Pekan.

Konvoi yang diiringi oleh motor kuasa besar dari ARC Pahang ini mendapat sambutan hangat dari pemandu lain. 

Antara gelagat pemandu ketika melihat konvoi ialah dengan mengangkat tangan dan membunyikan hon sebagai tanda sokongan. 

Selepas mengedarkan risalah TOLAK dan memberikan pidato jalanan di Peramu Jaya Pekan, sedikit kekecohan tercetus apabila sekumpulan Pemuda BN datang menghalau aktivis TOLAK yang didakwa kononnya mencetuskan provokasi dan perpecahan. 

Seperti biasa, mereka menggunakan hujah “ini tempat kami, minta kebenaran dulu atau sila berambus”.    

Gelombang TOLAK di Pahang berakhir dengan pentas Kebangkitan Anak Muda di Kg Mengkasar, Pekan yang menampilkan 13 pemidato anak muda dari pelbagai segmen rakyat.

Antaranya adalah wakil dari GAMIS, SAMM, Jingga 13, Orang Asal, Pertubuhan Nisa’, SIGMA, Anti Lynas, Pemuda PAS dan Ketua Ulama PAS Pahang.

Turut berceramah pada malam itu adalah Ustaz Abu Kasim calon Pakatan Rakyat untuk DUN Peramu Jaya dan Cikgu Fariz Musa  calon Pakatan Rakyat untuk Parlimen Pekan. Ceramah yang dihadiri oleh hampir 1,000 orang itu turut diserikan dengan program BBQ ayam.

Sewaktu pidato dari Presiden Gamis, Azan Safar menceritakan jelajah TOLAK seluruh Malaysia telah berjaya meningkatkan sokongan dan semangat untuk menolak Umno-BN.

Gelombang TOLAK ini dilihat mencetuskan ketakutan kepada Umno-BN kerana mereka sering diganggu oleh Pemuda BN di hampir semua tempat persinggahan. Cermin kereta aktivis TOLAK turut dipecahkan oleh para penyokong BN di Perak.  

Sehari sebelumnya pada 13 April, hampir 100 orang aktivis GAMIS Pahang turun padang bertemu dengan masyarakat peneroka Felda di 10 UPU berbeza di Dun Jengka.

Program sehari suntuk itu bermula dengan ziarah rumah ke rumah dan berakhir dengan ceramah kelompok oleh mahasiswa di semua UPU yang terlibat.



Harakahdaily/-

1 ulasan:

ayah berkata...

TAHNIAH..saya dr Muadzam Shah, Rompin, Keratong, Selancar.. mengharapkan TOLAK dtg kesini supaya kwn2 PR sini lebih bersemangat, minggu lps Bas Negara Kebajikan telah singgah diBTRazak sini, ramainya org berhimpun.
2 minggu lps umno buatkan festival utk belia, TOLAK dtg lah sini utk belia2 sini berhimpun juga.