5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUANTAN - Empat penunggang maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dalam nahas berasingan yang dilaporkan berlaku di Kuantan, Jerantut dan Temerloh, kelmarin.
Dalam kejadian di Kuantan, seorang pekerja kilang berasal dari Bachok, Kelantan, Zakeri Che Mat, 21, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 25, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat sini tengah malam kelmarin.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, nahas kira-kira jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu seorang juruteknik berusia 34 tahun terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua motosikal termasuk yang ditunggang mangsa,” katanya, di sini, semalam.
Mohamed Fauzi berkata, dalam satu lagi kejadian, seorang pelajar, Muhammad Amri Abu Samah, 15, dari Felda Lepar Hilir, dekat sini, maut selepas motosikal jenis Yamaha Y125Z yang ditunggang melanggar belakang sebuah kereta di Batu 11, Jalan Kuantan- Maran, awal pagi kelmarin.
Sementara itu, seorang lelaki maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta dalam satu kes langgar lari di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya dekat Jerantut, malam kelmarin.
Mohamed Fauzi berkata, dalam kemalangan jam 9 malam itu, mangsa, Wai Thin Soong, 55 dari Sungai Jan, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
"Manakala dalam nahas berasingan, seorang buruh, V Ipreithy, 21 dari Taman Temerloh Jaya turut maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar tong sampah yang diletakkan kaki lima jalan, Kilometer 121, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh awal pagi kelmarin," katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan