5 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilanmenampilkan 21 muka baru sebagai calon yang akan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Pada majlis pengumuman senarai calon BN di sini hari ini, Pengerusi BN negeri Datuk Seri Moham ad Hasan mengumumkan Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu Zainuddin Ismail sebagai calon bagi kerusi Parlimen Jelebu.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak disenaraikan sebagai calon.
Bekas Menteri Besar dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen Jempol, sementara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Datuk Hasan Malek kekal bertanding di kerusi masing-masing iaitu di Parlimen Tampin dan Kuala Pilah.
Bagi kerusi Parlimen Teluk Kemang pula, Ketua Penerangan MIC Datuk V S Mogan diumumkan sebagai calon, sementara kerusi Parlimen Seremban dan Rasah akan diwakili muka baharu Teo Eng Kian (Timbalan Setiausaha Organisasi MCA Negeri) dan pengerusi MCA negeri Datuk Yeow Chai Thiam.
Bagi kerusi Dun pula, Mohamad yang juga Menteri Besar akan mempertahankan Dun Rantau, sementara veteran Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail dicalonkan bertanding di kerusi Dun Lenggeng.
Sementara penyandang kerusi Parlimen Jempol Datuk Lilah Yasin dicalonkan bertanding di kerusi Dun Palong.
Terdahulu dalam ucapannya sebelum mengumumkan perkara itu, Mohamad berkata, senarai calon kali ini merupakan gandingan antara pemimpin lama dan baharu mewakili setiap lapisan masyarakat yang diharap mampu menjulang BN pada PRU ini.
Katanya, nama-nama yang diumumkan telah disaring dan dinilai pucuk pimpinan atasan dan mereka yang digugurkan atau tidak dicalonkan perlu menerima dengan hati terbuka dan perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan.
"Janganlah merasa terkilan atau sebagainya sebaliknya kita mesti pastikan BN menang pada PRU ini bukan hanya menang majoriti mudah tapi dengan majoriti dua pertiga," katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan