10 April 2009

Hina Islam Atau ‘Muslim’?

“Dia sudah melampau. Mana boleh si kafir membaca ayat al-Quran dan memperalatkannya?” bentak ‘pencinta’ Islam di dalam kenyataan akhbar dan laporan polisnya.

“Ia jelas mencabar kesucian Islam!” tokok seorang lagi.

Ada sesuatu yang saya masih belum mampu formulakan; mengapakah kaum Muslimin begitu tenang, yakin dengan kepercayaannya dan terbuka untuk dialog dan perbincangan semasa mereka menjadi kaum minoriti, sebaliknya terasa begitu terancam, tercabar, tergugat semasa mereka menjadi kaum majoriti yang memegang kuasa.

Ia suatu keganjilan.

Sepatutnya yang minoriti itu duduk dalam kekhuatiran. Rasa jati dirinya semakin terhakis, bimbang segala yang ada di sekitar mencabarnya, lalu menjadi sangat defensif terhadap agama masing-masing. Sepatutnya begitu.

Dan tatkala mereka bertindak sebagai pemerintah, berkuasa, berkuantiti sebagai majoriti, maka mereka akan rasa sangat selesa, terbuka, dan tidak fragile oleh cetusan-cetusan kejadian harian di kiri kanannya. Sepatutnya macam itu.

Tetapi realiti di Malaysia sungguh terbalik.

PERBANDINGAN LAGI

Saya tidak suka membanding-banding.

Orang tua kita sudah membuat pepatah, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berhujankan batu di negeri sendiri!”

Tetapi orang kita jugalah yang pakar membanding-banding. Kerana banding-membanding itulah terbinanya Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, malah pernah juga Subang Parade dinobatkan sebagai pusat membeli belah terbesar di Asia Tenggara.

Daripada dibanding-bandingkan benda yang sekunder itu, lebih baik kita bandingkan soal-soal premier yang lebih kritikal.

MINORITI DI IRELAND UTARA

Terkenang kembali pengalaman saya semasa bertugas di Belfast Islamic Centre.

Kami memang kaum minoriti. Jumlah Muslim pada bulan pertama saya memulakan tugas, hanya sekitar dua atau tiga ribu orang di seluruh Ireland Utara. Tetapi menjadi kaum minoriti tidak menjadikan kami Muslim yang defensif lagi reaktif.

Kami terbuka kepada dialog. Jemputan untuk berdialog boleh dikatakan diterima setiap hari. Ada dialog dengan pelajar, ada dialog dengan rombongan yang dihantar oleh gereja. Kita dengan bebas bertukar-tukar pandangan tentang agama dan kepercayaan masing-masing, khususnya di peringkat isu-isu bersama berkaitan etika dan tanggungjawab sosial.

Kami tidak mengurung masjid di balik tembok, kesan rasa terancam kerana hidup sebagai minoriti. Sebaliknya masjid itu sentiasa terbuka. Malah kami juga sering hadir ke ruang-ruang terbuka yang disediakan di pusat bandar, untuk berjumpa dan berbicara dengan orang ramai.

“Kami dari sebuah sekolah rendah Katholik di Newry mahu melawat masjid tuan. Bilakah tarikh dan masa yang sesuai?” tanya wakil sekolah berkenaan melalui panggilan telefon.

“Saya dan rakan-rakan daripada Fakulti Kemanusiaan Open University UK mahu berjumpa dan bertukar-tukar pandangan dengan pihak Islamic Centre” tercatat demikian di sepucuk surat yang saya terima.

Permintaan-permintaan begitu datang setiap hari. Dan lazimnya kami akan cuba menyusun jadual lawatan agar mereka datang kira-kira sejam sebelum Solat Zohor. Tujuannya ialah untuk menyediakan masa sekitar satu jam untuk berdialog dan kemudian apabila masuk waktu Zohor, mereka akan dijemput ke dewan solat utama, duduk di bahagian belakang dan melihat kami menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid.

“Bolehkah orang bukan Islam masuk ke Masjid?” tanya seorang pelajar Malaysia yang baru tiba ke UK.

Soal demikian sudah lama diselesaikan. Jika non Muslim secara mutlak tidak boleh masuk ke masjid, entahlah berapa orang penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berpeluang bertemu dengan Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Tidak berlakulah kejadian Arab Badwi yang kencing di dinding masjid dan segala catatan yang lain.

Masjid adalah tempat orang mencari Islam, bukan tempat Muslim mengurung Islam.

Saya tidak banyak pengetahuan tentang Biblical Literature. Tetapi saya membaca serba sedikit mengenainya, dan saya menggunakannya untuk sempena-sempena yang sesuai terutamanya ketika sedang berdepan dengan pelawat beragama Kristian. Semasa menjelaskan tentang hak mutlaq Tuhan terhadap nyawa manusia dalam kertas kerja berkaitan Euthanasia, saya memetik keterangan Bible berikut:

“No man has authority to restrain the wind with the wind, or authority over the day of death.” [Ecclesiastes 8:8a]

Petikan itu berdiri bersama dengan petikan saya daripada keterangan al-Quran, firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“… Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya” [al-An'aam 6: 151]

MENYAMARATAKAN?

Apakah saya menjadi penganut Bible dan mempercayainya semasa saya memetik suatu ayat daripadanya?

Jauh sekali!

Pendirian saya tentang Bible adalah sama seperti pendirian al-Quran terhadap Taurat dan Injil.

Akan tetapi saya memetik ayat dari Bible supaya hadirin yang Kristian boleh mengaitkan ceramah saya dengan rujukan mereka. Bahawa apa yang saya sebut bukan sahaja berdasarkan agama saya yang Islam, malah ia juga termaktub di dalam agama mereka. Itu sahaja.

Tujuan saya menggandingkan keduanya adalah untuk menekankan bahawa soal peranan agama dalam memelihara nyawa manusia adalah persoalan yang besar. Muslim atau Kristian mesti mempunyai tahap sensitiviti yang sama terhadap apa-apa prosedur perubatan dan bukan perubatan yang menggugat hak ini. Euthanasia bertentangan dengan peraturan agama sama ada Kristian mahu pun Islam.

Adakah saya telah menyamakan Islam dan Kristian?

Tentu sahaja tidak.

Kalau Mak Senah makan sireh dan kambing Mek Yah makan sireh, apakah Mak Senah sama dengan kambing Mek Yah?

Tentu sahaja tidak!

Analogi yang sangat buruk untuk andaian seburuk itu.

Namun, titik persamaannya ialah, pokok sireh perlulah dijaga kerana Mak Senah dan kambing Mek Yah sama-sama mengambil manfaat daripadanya.

Antara Islam dan Kristian, Euthanasia tidak harus berdepan dengan apa-apa konflik dari segi penggubalan polisi di hospital jika dilihat daripada perspektif agama kerana kesemua agama bersepakat dalam menolak campur tangan manusia dalam menentukan saat kematian manusia yang lain. Itu sahaja.

Pandangan saya yang dimuatkan di dalam kertas kerja yang dibentangkan, diagihkan kepada kesemua pembentang yang lain, juga hadirin yang menyertai. Tentu sahaja saya tidak menyertakan teks Arabnya untuk mencegah daripada ayat-ayat al-Quran jatuh ke tempat-tempat yang tidak baik. Tetapi berdosakah saya membiarkan para non-Muslim dari kalangan paderi dan pelajar perubatan di The Queen’s University Belfast menggunakan ayat al-Quran dalam keadaan mereka tidak Muslim?

Bahkan saya berpandangan sebaliknya.

KES NGA KOR MING

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16:90]

Apabila Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran di atas untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dan BERLAKU IHSAN dari perspektif al-Quran, apakah ini suatu penghinaan terhadap Islam?

Nga Kor Ming salah menyebutnya? Betulkanlah sebutannya.

Bukankah kita kaya dengan guru tajwid di sana sini?

Betul sangatkah sebutan-sebutan ayat al-Quran oleh perwakilan-perwakilan parti yang Melayu dan Muslim itu? Betul sangatkah ucapan Datin-datin dan Puan Sri semasa menyebut ayat al-Quran dalam ucapan-ucapan perasmian mereka? Sepatutnya salah sebutan itu diiringi oleh usaha membetulkan sebutan, bukannya berbondong ke Balai Polis membuat laporan!

Sikap inilah yang menghairankan saya.

Terlalu defensif.

Masjid dikurung, Quran dibendung, yang lulus untuk kegunaan non Muslim hanyalah rumah-rumah terbuka pada hari perayaan Islam! Kemudian layakkah kita tertanya-tanya tentang punca Islam menjadi mandul di negara kita?

Sila tanggalkan kasut anda di sini, dan ketahuilah di sini juga kawasan pencuri kasut! Banyak betul benda pelik di masjid-masjid kita

HINA ISLAM ATAU MUSLIM?

Soalan tadi belum berjawab. Apakah ketika seorang Ahli Parlimen beragama Kristian memetik ayat al-Quran tentang ADIL dan IHSAN sebagai asas seruannya untuk semua Muslim dan non-Muslim menolak KEZALIMAN, adalah suatu penghinaan terhadap Islam?

Saya yakin, jawapannya mudah.

Ia bukan penghinaan terhadap Islam.

Ia adalah PENGHINAAN terhadap MUSLIM. Iaitu Muslim yang mengaku Islam tetapi tidak beramal dengan Islam. Muslim yang sensitif dengan salah baca al-Quran, tetapi tidak sensitif dengan pembekuan al-Quran dari asas pemerintahan.

Nga Kor Ming ‘memang patut didakwa’.

Tetapi bukan dengan dakwaan menghina Islam.

Sebaliknya Nga Kor Ming patut didakwa kerana menghina ‘Muslim’. Muslim yang bermain-main dengan Islam. Permainan yang menjadi punca terhinanya Muslim itu sendiri, siang dan malam.

“… Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Qiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah 2: 85]

Jangan sampai Muslim di Malaysia jadi seperti kaum Abbasiyyin di Baghdad pada tahun 1253. Setelah nasihat-nasihat ulama’ Muslim tidak diendahkan, dan lekanya mereka dengan maksiat, akhirnya Hulagu Khan yang kafir itu ber’tazkirah’ di pintu kota Baghdad bersama bala tenteranya, “Aku adalah bencana yang dihantar oleh Tuhan kamu atas dosa yang kamu lakukan!”

Tatkala Muslim ditempelak oleh seorang kafir tentang agamanya sendiri, itulah saat-saat kehancuran mereka. Mahukah kamu beringat-ingat?

Email : Zamri Kecik's

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YB perlu diingat, di Malaysia ni banyak Islam baka dan melayu bukan Islam. Nak tunggu bila mereka nak saman kementerian pendidikan dan UIA sebab mencemar islam sebab kafir baca quran, nak tunggu bila mereka nak saman gereja-gereja serata dunia sebab paderi2 baca dan kaji quran, nak tunggu bila mereka nak saman yahudi sebab mereka baca dan kaji quran. Dan nak tanya mereka yang gi buat saman tu baca dan ikut ke panduan dalam quran tu..? Orang melayu islam sekarang bukan macam dulu boleh dituba sesedap rasa. Malulah janganlah tunjukkan jahil tu terutama pada bukan islam yang selesa dan rela menerima suruhan kitab orang islam. Sikit-sikit lama-lama Islam menang. Kita fikirlah ye siapa yang jahil. Cina DAP atau Melayu UMNO tertentu?

ZAMRI kecik's berkata...

minta sahabat2 masuk portal ni.tolong jawab sikit kat depa yang tak reti2 tu...

http://www.muslimconsumer.org.my

fexal berkata...

wahai pemimpin...tidakkah kamu malu dengan apa yang Allah tunjukkan kepada kamu dimana sebelum ini kamu lupa pada panduannya tidak pernah menggunakannya dalam pemerintahan kamu....tetapi kamu marah apabila orang bukan islam menggunakan ayat Al-Quran dalam perintahan mereka...malulah sikit....mereka bole menerima ayat Al-Quran tapi kamu pula meninggalkannya....renungkanlah wahai pemimpin
malulah lah pada Allah...al-Quran bukan untuk diletak dan dizoo kan dalam masjid tetapi untuk dihati dan dijadikan panduan untuk manusia sejagat ...lihatlah sejarah dahulu bagaimana islam berkembang pada zaman sahabat buka mata sikit....

MPP berkata...

Assalamualaikum yb.

Aku terfikir kalau benda ni berlaku pada Sammy vellu atau Chua Soi Lek.

Adakah layanan yang sama diperolehi dari para pembangkang???

Yang tak elok tetap tak elok yb. Jangan tutup sebelah mata hanya kerana yang buat benda tak elok tu kawan atau seperjuangan dengan kita.

Berkatalah yang benar walaupun pahit.

Treima kasih yb.

sifu784 berkata...

Assalamualaikum YB.
Sebenarnya mereka tidak menggunakan Al-Quran sebagai petunjuk tetapi mereka iri hati orang lain menggunakan Al-Quran sebagai petunjuk untuk kejayaan, kekayaan dan kebenaran. Mereka lupa Dr.Mahathir sendiri pernah menyatakan orang-orang barat menggunakan Al-Quran sebagai panduan untuk kejayaan diri dan negera mereka. Dalam Al-Quran terlalu banyak ilmu yang telah ditimba oleh orang-orang kafir. Namun orang Melayu masih menunding jari mencari salah orang lain.

maryam berkata...

assalamualaikum.. sumber artikel di atas adalah dari www.saifulislam.com
wallahua'lam