Mohamad Nor menunjukkan lokasi tali air di mana mangsa hampir maut diserang babi hutan, Sabtu lalu.

Mohamad Nor menunjukkan lokasi tali air di mana mangsa hampir maut diserang babi hutan, Sabtu lalu.
GUNUNG SEMANGGOL - Seorang penduduk Kampung Batu 40, Bukit Merah, di sini nyaris maut setelah diserang seekor babi hutan ketika sedang menjala ikan di kawasan tali air berhampiran rumahnya, Sabtu lalu.

Anak mangsa, Latifah Omar, 45, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, ayahnya Omar Mahmud, 69, pergi menjala seorang diri sebelum terlihat satu objek pelik di dalam tali air itu yang disangkakan ikan.

Menurutnya, ayahnya yang sedang menaiki motosikal melihat kelibat ikan di sepanjang tali air itu lantas memperlahankan kenderaannya untuk melihat ‘objek pelik’ itu secara dekat.

“Ayah memperlahankan motor dan terlihat seperti ikan berkocak dalam air, bagaimanapun setelah dilihat lebih teliti, baru ayah menyedari ia merupakan seekor babi hutan yang sedang berendam di dalam tali air dan hanya menampakkan muncungnya sahaja.

“Belum sempat dia memberhentikan motosikal, babi hutan itu melompat dari dalam air dan terus menyondol motosikal ayah,” ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Hadir sama, Penyelaras Dun Gunung Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah dan Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan.

Latifah berkata, serangan babi hutan itu menyebabkan motosikal ditunggangi ayahnya terjatuh sebelum ia menyerang paha kanan ayahnya sehingga mengalami kecederaan parah.

Selain kecederaan paha kanan, Latifah menyatakan ayahnya turut mengalami luka dalam di bahagian kedua-dua tapak tangan dan kaki akibat disondol haiwan ganas itu.

“Menurut cerita ayah, sondolan babi hutan itu menyebabkan paha kanannya dicederakan taring haiwan yang terbenam sepanjang hampir dua inci.

“Kesakitan dialami ayah menyebabkan dia bertindak menendang haiwan itu dengan menggunakan kaki kiri, bagaimana tendangan itu mengenai taring haiwan berkenaan dan menyebabkan luka dalam.

“Setelah hampir 15 minit bertarung nyawa, ayah saya sempat mencapai sebuah batu besar di kawasan berhampiran sebelum menghempaskannya ke atas kepala haiwan itu dan menyebabkan babi hutan itu ‘pengsan’,” katanya.

Latifah berkata, ayahnya segera berlari sejauh 200 meter untuk meminta pertolongan kerana bimbang babi hutan itu akan kembali sedar dan menyerangnya kembali.

“Mujurlah terdapat ramai orang kampung yang datang membantu ayah dan menghantarnya balik ke rumah,” katanya.

Latifah berkata, dia dan keluarga bergegas menghantar ayahnya ke Hospital Taiping untuk rawatan segera susulan melihat keadaan paha kanan ayah yang berlumuran darah.

“Syukur keadaan ayah kembali stabil setelah ditempatkan di unit rawatan kecemasan dan kami difahamkan ayah terpaksa menerima sepuluh jahitan di bahagian paha kanan yang cedera teruk,” katanya.

Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, susulan kejadian itu, pihak Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dipanggil untuk menembak haiwan berkenaan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang kembali.

SINAR/-