Bangunan kementerian Syria dibedil mortar

Pemberontak gesa Assad digulingkan
DAMSYIK - Bangunan ibu pejabat Kementerian Maklumat Syria, terbakar selepas terkena bedilan mortar yang dilancarkan sebanyak dua kali dekat sini, semalam.
Menurut televisyen kerajaan, serangan yang tidak mencetuskan kemalangan jiwa itu dilakukan kumpulan pemberontak yang mahu menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad.

Aktivis pembangkang, Samir Al-Shami berkata, pemberontak sengaja membedil bangunan Kementerian Maklumat Syria di tengah daerah Mezzeh, yang berhampiran dengan lokasi persembunyian mereka.

Sementara itu, kumpulan pemberontak terbesar Aleppo, menolak pertubuhan Gabungan Kebangsaan Syria dengan alasan mahukan sebuah negara Islam, semalam.

"Kami kumpulan pejuang bandar Aleppo, sebulat suara menolak projek sulit Gabungan Kebangsaan Syria dan bersetuju menubuhkan negara Islam dalam Syria," kata jurucakap pemberontak dalam rakaman video.

Rakaman video dihantar dalam talian itu, menyiarkan 30 lelaki yang diketuai seorang jurucakap tidak dikenali menolak untuk menerima mana-mana gabungan atau pertubuhan majlis luar Syria.
Sementara itu, Kesatuan Eropah memberi pengiktirafan kepada Gabungan Kebangsaan Syria mewakili suara rakyat.
Aktivis dan paramedik melaporkan, sekurang-kurangnya 50 orang terkorban sejak awal minggu ini dan menjadikan lebih 39,000 nyawa melayang dalam tempoh lebih 20 bulan tercetusnya perang saudara di Syria. - Al-Jazeera

SINAR/-