JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor menyangka dia akan mati apabila
seorang lelaki berjaket gelap tiba-tiba melepaskan dua das tembakan ke
arahnya yang ketika itu berada di dalam kereta dan sedang membuka sebuah
bungkusan di Pusat Komersial Taman Johor Jaya di sini semalam.
Semasa kejadian pada pukul 1.20 petang, mangsa O. Raman, 56, rakyat
Singapura yang mempunyai taraf penduduk tetap negara ini dan isterinya,
S. Padmavathi, 52, baru masuk ke dalam kereta BMW miliknya yang
diletakkan di tempat letak kereta di depan pusat kurier di situ.
Bagaimanapun, cerita Raman, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai
topi keledar dan berjaket gelap muncul di tepi keretanya dan terus
melepaskan tembakan ke arahnya.
“Ketika mendengar tembakan itu, saya hanya ingat mati tetapi apabila
lelaki berjaket itu beredar saya bersyukur kerana masih bernyawa dan
hanya cedera di kaki kanan terkena satu das tembakan manakala tembakan
lagi satu menembusi cermin tingkap tempat duduk sebelah pemandu.
Terdahulu, Raman yang banyak berurusan di Singapura dan Pasir Gudang
berasa hairan apabila bungkusan yang dibuka hanya mempunyai sebuah
diari.
“Kami tidak pasti sama ada bungkusan itu merupakan perangkap untuk
musuh saya mencederakan saya,” kata Raman ketika ditemui di sini.
Raman bagaimanapun menafikan dia mempunyai musuh perniagaan.
Sementara itu, Padmavathi berkata, sebaik penjenayah itu beredar, dia
yang dalam keadaan panik terus menghubungi anak perempuannya untuk
mendapatkan bantuan.
Pasangan tersebut mempunyai tiga anak perempuan dan Padmavathi memiliki tiga buah tadika di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin
berkata, polis sedang menyiasat motif kejadian tersebut selain memburu
lelaki yang dipercayai cuba membunuh mangsa.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan