10 Mac 2009

Tarik balik visa 70,000 pekerja Bangladesh bakal ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru kerajaan agar menarik balik dengan segera visa yang dikeluarkan kepada 70,000 pekerja Bangladesh yang dijangka tiba di sini tidak lama lagi.

Naib presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata, pekerja di negara ini kini sudah kehilangan pekerjaan dan kedatangan pekerja asing akan meburukkan lagi keadaan.

Malahan, beriburibu rakyat Bangladesh di negara kini menghadapi masa depan yang muram akibat tidak ada pekerjaan dan kurang pekerjaan, katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, adalah lebih baik visa mereka yang akan datang dibatalkan semasa mereka masih lagi di negara asalnya daripada menunggunya tiba di sini.


Beliau mengulas kenyataan Kaunselor Buruh Bangladesh Talat Mahmud Khan bahawa 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di sini untuk memulakan kerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Sementara itu, sumber-sumber pasaran buruh memberitahu Bernama bahawa masalah ini bukan mudah diatasi kerana pekerja tersebut telah mengeluarkan banyak wang untuk memperoleh visa daripada ejen daripada syarikat penyumberan, dan kemungkinan wang mereka tidak akan dipulangkan.

Pekerja itu terpaksa membayar antara RM9,000 dan RM10,000 untuk visa dan levi.

Kini terdapat lebih 250 syarikat penyumberan berdaftar di Malaysia.

Masalah ini lebih menyulitkan kerana pekerja ini telah meminjam wang daripada saudara mara dan peminjam wang bagi membayar visa berkenaan.

"Dalam keadaan begini, jika visa itu dibatalkan, pekerja berkenan akan kehilangan semua wang dan ini tidak boleh diterima dan juga mencemarkan imej Malaysia dalam pasaran buruh dunia," kata sumber-sumber itu.

Balasubramaniam juga mencadangkan bahawa kedua-dua kementerian Sumber Manusia dan Dalam Negeri memanggil mesyuarat segera dengan semua pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini.

Beliau berkata, kelemahan besar dalam mengeluarkan visa di Malaysia kini ialah visa diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri sementara Kementerian Sumber Manusia hanya bertindak sebagai penasihat. BERNAMA

Tiada ulasan: