16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: “Apabila Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah sama kerana mereka adalah pemimpin yang hanya bercakap soal Islam berbanding Najib yang menekankan ekonomi, maka kami berpendapat itulah semangat yang sebenar yang melatari BN,” kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Katanya, sikap prejudis Soi Lek terhadap Islam menggambarkan penyertaan MCA dalam BN adalah lantaran BN tidak mahu meletakkan agenda Islam sebagai agenda terpenting.
Justeru, ujarnya BN hanya bersepakat bahawa Islam hanyalah urusan ritual dan bersifat peribadi dan tidak boleh dibawa dalam urusan pentadbiran negara.
Beliau menambah, Soi Lek yang mengatakan Pak Lah hanya bercakap mengenai Islam Hadhari dan Anwar dilihat sebagai seorang yang mempunyai sentimen Islam yang kuat akan menjadikan orang bukan Islam dipaksa menerima semua program Islam di negara ini.
"Pak Lah adalah sama seperti Anwar, mereka tidak tahu tentang ekonomi, mereka hanya bercakap mengenai doa," kata Chua yang dipetik Malaysiakini.
Bagi Mohd Azmi, jelas kenyataan Soi Lek menggambarkan sikap negatif beliau terhadap program-program Islam di negara ini.
“Kami mempersoalkan inikah gambaran sikap parti-parti komponen BN berkaitan dengan agenda Islam yang diperkenalkan dalam pembangunan Malaysia?” kata beliau.
Jika benar, katanya maka Umno sebagai tunjang kepada BN harus menyatakan sikap yang jelas dalam isu itu.
Justeru, katanya dengan menyamakan Anwar dan Pak Lah yang dilihat Soi Lek mempunyai program Islam yang lebih dari Najib, maka umat Islam harus menilai dengan serius apakah BN harus disokong lagi untuk berkuasa di kerajaan pusat.
“Jika BN diberi mandat seterusnya, maka sikap tidak mengizinkan program Islam menjadi program utama dalam negara akan menjadi ciri kerajaan BN,” katanya.
Mohd Azmi berkata, Presiden MCA nampaknya cuba mentafsirkan Islam setakat mana yang patut dilaksanakan di negara ini dan Umno terpaksa mengikut kehendak MCA dalam soal ini.
Katanya lagi, soal ekonomi dan Islam tidak boleh dicampuradukkan seperti yang difahamkan oleh Soi Lek bahawa itulah yang Najib lakukan sekarang dan ini disokong oleh MCA.
Kini, tambah beliau jelas BN mempunyai parti komponen yang mempunyai sikap prejudis kepada Islam yang tinggi.
Lantaran itu, tegasnya umat Islam wajib beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS yang kuat agenda Islamnya jika kedudukan Islam mahu diperkukuhkan.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan