16 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PUTRAJAYA: Setelah menyaksikan bagaimana laungan takbir mengegarkan Masjid Besi Putrajaya dan sambutan menggerunkan di Presint 3 terhadap kehadiran Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya terpaksa turun ke padang hari ini untuk menyelamatkan Putrajaya.
Putrajaya, yang selama ini digempar-gempurkan sebagai kubu paling selamat untuk Barisan Nasional, di mana Timbalan Presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bahawa calon PAS Datuk Husam Musa bakal kehilangan deposit kini goyah.
Sambutan menggerunkan pada setiap program Husam sudah memberikan signal yang cukup jelas bahawa Umno di dalam bahaya di Putrajaya.
Jika tidak, perlukah Mahathir datang berkempen di Putrajaya? Ada banyak lagi kawasan yang perlu dihadiri Mahathir untuk berkempen, tapi beliau terpaksa meluangkan masa malam ini untuk membuat ceramah perdana bertajuk “Pertahankan Putrajaya.”
Malam ini, Mahathir akan berceramah jam 8 malam di Bilik Gerakan PDM Metropolitan, Presint 9, Putrajaya.
Makluman itu dimuatkan di Facebook beliau.
Semalam, sumber Umno memberitahu Harakahdaily bahawa Mahathir dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak akan turun ke Putrajaya kerana keadaan di situ kini berpihak kepada Husam.
“Kan semalam saya dah kata Mahathir akan turun ke Putrajaya. Selepas ini Najib pula. Ini indikator yang saya kata semalam, nyawa Umno-BN tinggal 9 hari sahaja lagi. Ini kali-lah,” kata beliau kepada Harakahdaily sambil ketawa.
“Tak sangka. Akhirnya saya juga terkena gelombang menyebut Ini-Kalilah,” tambahnya.
Menjawab persoalan Harakahdaily semalam, mengapa Umno harus gelabah di Putrajaya sedangkan itu kubu kuat mereka, sumber Umno itu menyatakan kerana mood di ceramah Husam sungguh memberi inspirasi ke arah perubahan.
“Sesiapa saja hadir akan terpukau dan akan tergerak hatinya untuk mengundi PAS dan Pakatan Rakyat kali ini,” katanya lagi.
Sumber Umno itu turut menyatakan bahawa pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir bakal bertandang ke Putrajaya tidak lama lagi untuk menyelamatkan calon mereka Setiausaha Agong Umno Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Muhyiddin dah turun ke Putrajaya dan terus serang Husam. Selepas ini Najib dan Mahathir akan datang menyerang Husam, itulah indikator Putrajaya dah goyang,” katanya.
Apa yang dikatakan sumber Umno itu kini menjadi kenyataan dengan bertandangnya Mahathir ke Putrajaya dengan ceramah bertajuk ‘Pertahankan Putrajaya.’
“Kubu kuat dah kena pertahan. Itu petanda apa dari Mahathir? Gelabah,” tambah sumber Umno itu lagi.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan