13 Februari 2013

‘Berpantang’: Gesaan Husam sangat tepat

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Jika hari mengundi penghujung bulan depan, seperti diramalkan oleh pelbagai pihak, maka kesempatan yang ada pada PAS/Pakatan Rakyat untuk bersiap menghadapi hari penentuan itu sudah sangat singkat.

Sedangkan hingga kini, masih wujud kekeliruan dari kalangan sesetengah pengundi Melayu baik di luar bandar mahupun di bandar sendiri. 

Terutamanya mengenai beberapa isu yang menyentuh ras dan agama. Kerana itu ia mesti ditangani dengan sebijaksana mungkin dengan diberikan 

penerangan yang jelas dan meyakinkan, bahawa Pakatan Rakyat, khususnya PAS mempunyai jawapan yang sangat munasabah mengenai masalah ini, berdasarkan pendekatan Islam yang mampu mendepani masyarakat majmuk di Malaysia.

Setakat ini, penerangan yang diberi oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Dato’ Seri PresidenTuan Guru Haji Abd Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Haji Mustafa Ali dan pimpinan PAS yang lain sangat meyakinkan dan berjaya meredakan keadaan. Tetapi, seperti dijangka, walaupun sudah diberi jawapan, isu ini akan terus dibangkitkan lagi oleh musuh Pakatan Rakyat yang mungkin berlarutan hingga sehari sebelum hari pengundi.

Oleh itu, pada pendapat saya, ingatan Naib Presiden PAS,  Datuk Husam Musa supaya PAS/Pakatan rakyat mesti berhati-hati dan tidak membuat sebarang kesilapan dalam apa bentukpun. Katanya, PAS semestinya meletakkan dirinya seperti berada dalam tempoh ‘berpantang’ selama 90 hari sebelum menghadapi PRU akan datang.

Beliau mengingatkan, dalam tempoh berpantang ini, PAS tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk memilih PAS pada PRU13 ini.

"Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia. Oleh itu, sewaktu berpantang, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan," katanya.

Ini ingatan penting Datuk Husam ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Mara Bersama Keberkatan Menuju Putrajaya di sebuah hotel di Selangor baru-baru ini yang mengumpulkan semua tenaga kerja pilihan raya PAS di Selangor.

Daripada pelbagai laporan terkini yang diterima, Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menang dalam PRU akan datang. Oleh itu, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat perlu berhati-hati dan jangan sama sekali melakukan kesilapan, justeru sebarang kesilapan sangat mahal harganya untuk dibayar oleh Pakatan seperti yang dtegaskan oleh Datuk Husam.

Naib Prediden PAS yang dinamik ini dengan pengalaman dan kematangan politiknya tentu boleh membaca dengan tepat, kalaupun tidak setepat-tepatnya, alam situasi yang ada sekarang. Justeru empoh masa sebulan dua ini, adalah tempoh yang sangat kritikal. Maka para pengundi sedang mengamati dengan serius perkembangan yang berlaku di tanah air untuk membuat pilihan.

Hendaknya dalam tempoh ‘berpantang’ ini tidak akan bermunculan pelbagai kenyataan, terutama di media musuh, mengenai pelbagai isu kontroversi, yang dikira boleh mengelirukan atau disalah tafsir oleh pihak tertentu. Seperti diketahui bukan mudah untuk membetulkan atau menjelaskan kenyataan yang telah dikelirukan.

Perlu diketahui bahawa dengan ragam media musuh yang sedemikian rupa, begitu mudah sekali mereka mengeksploitasi pelbagai kenyataan Pakatan Rakyat.
Memanglah dalam karenah politik bahawa ‘Silence is golden’ selalunya tidak tepat, justeru politik ialah mengenai tindakan dan penerangan ideologi, cita-cita dan harapan, perancangan jangka pendek dan jangka panjang dan sebagainya sesebuah parti politik. Semua ini perlu dinyatakan dengan meluas kepada rakyat.

Namun politik itu mempunyai ciri-ciri strategi, keterbatasan, antaranya, ada ketikanya pelaku politik itu diperlukan ‘membisu’ dalam waktu tertentu untuk muslihat strategi menghadapi musuh, walaupun tidak dalam semua waktu dan keadaan.

Dalam situasi di negara ini yang akan menghadapi PRU, maka pendukung Pakatan Rakyat diperlukan ‘mengekang’ keinginan untuk bercakap atau mengeluarkan kenyataan yang dikira boleh menimbulkan kontroversi serta merugikan Pakatan sendiri.

Sebab itu, ingatan Datuk Husam supaya pendukung PAS ‘berpantang’ dan jangan membuat sebarang kesilapan dalam waktu terdekat ini, adalah satu ingatan ikhlas yang datang dari seorang tokoh politik berpengalaman, cerdas dan mempunyai pandangan jauh ke depan.

Sementara itu, tinjauan yang diterima dari pelbagai pihak ialah bahawa masih wujud kira-kira 30% pengundi generasi muda hingga kini masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengundi parti mana. Ini bermakna jumlah pengundi generasi baru yang belum membuat keputusan telah menurun 10%.

Mungkin dalam seminggu dua lagi akan semakin bertambah jumlah pengundi baru yang sudah membuat keputusan dan ada isyarat bahawa pengundi muda ini – termasuk mahasiswa - cenderung kepada Pakatan Rakyat. Ini, antara lain, disebabkkan kebencian mereka terhadap kegiatan politik samseng dan ganas yang menjadi-jadi akhir-akhir ini.

Generasi baru ini mahukan sebuah suasana yang tenang dalam pelbagai program parti, untuk mendengar hujah-hujah parti politik yang bertanding. Kerana itu mereka sangat berhajat untuk mendengar debat politik yang biasa diadakan di negara luar setiap kali pilihan raya.

Adapun pengundi wanita yang besar jumlahnya di seluruh negara yang kebanyakannya menyokong BN, sama sekali tidak akan mengecewakan Pakatan Rakyat. Ini kerana, menurut tinjauan, sudah ramai pengundi tersebut, terutamanya di bandar dan semi bandar, mulai beralih arah dan mahukan perubahan hasil dari penerangan berterusan dari Pakatan Rakyat, khususnya dari wanita Pakatan sendiri.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: