13 Februari 2013

Deepak pohon perlindungan saksi kepada Peguam Negara

2 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



(Deepak [kanan sekali] bersama Mahfuz dan Asmuni di pejabat Peguam Negara hari ini)

PUTRAJAYA: Peniaga permaidani, Deepak Jaikishan hari ini menyerahkan permohonan untuk mendapatkan perlindungan sebagai saksi kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail di pejabatnya dekat sini hari ini.

Deepak ditemani oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Peguam yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS, Haji Asmuni Awi.

Permohonan itu dibuat untuk membolehkan Deepak mendedahkan segala yang beliau tahu berkaitan dengan pembikinan Akuan Bersumpah kedua yang dibuat oleh P Balasubramaniam berkaitan pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu.

Deepak melalui surat tersebut menjelas yang beliau tidak terlibat langsung di dalam perbuatan kedua-dua SD yang bertarikh 1 Julai 2008 dan 3 Julai 2008.

Namun penglibatannya bermula selepas munculnya SD1 apabila beliau dihubungi isteri Perdana Menteri bagi membantu Perdana Menteri yang mana nama Perdana Menteri dilibatkan secara langsung di dalam SD1.

Malah menurutnya lagi, beliau juga tidak kenal rapat dengan penyiasat persendirian itu.

"Hari ini saya menyerahkan surat permohonan kepada AG bagi mendapatkan imuniti berhubung dengan SD yang dilakukan oleh P Balasubramanian.

"Tetapi surat tersebut hanya dapat diserahkan kepada pegawai beliau memandangkan Abdul Gani sedang bermesyuarat pada ketika ini," jelas belaiau.

Deepak juga memberitahu beliau juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan di dalam negara ini untuk memberi maklumat selanjutnya mengenai penglibatan pemimpin negara dalam penyalahgunaan kuasa yang melibatkan keluarga beliau.

Namun perkara ini akan didedahkan dengan syarat beliau diberikan perlindungan dari sebarang kemungkinan pendakwaan jenayah terhadap penglibatan beliau dengan memberikan 'certificate of immunity' yang merangkumi semua undang-undang negara.

Terlibat

Sebelum ini, Deepak mendakwa beliau terlibat dalam pembikinan SD 2 selepas diminta oleh rakan rapatnya ketika itu, Datin Seri Rosmah Mansor.

(Deepak menunjukkan dokumen yang beliau ada kepada Mahfuz dan rakan-rakannya dalam pertemuan mereka 6 Februari lepas)

Beliau diminta oleh isteri perdana menteri itu berbuat demikian selepas PI Bala membuat satu sidang media mendedahkan pengakuan bersumpahnya yang pertama.

Dalam akuan itu, Bala mendakwa Najib terlibat dalam kematian tragis yang menimpa wanita Monggolia di hutan simpan dekat Puncak Alam itu.

Melalui SD 2 yang dibuatnya, PI Bala menarik balik segala pengakuan yang beliau buat dalam SD 1.

Deepak berkata, beliau membawa PI Bala menemui adik Najib, Nazim Razak di sebuah pusat membeli belah di Mutiara Damansara.

Dalam pertemuan itu, Deepak berkata, pelbagai janji dibuat oleh Nazim bagi pihak Najib kepada PI Bala.

Ekoran itulah, PI Bala membuat SD 2 yang bercanggah sama sekali dengan SD 1.

Deepak memohon Peguam Negara memberikan perlindungan kepadanya sebagai saksi dalam kes ini berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberikan kuasa kepada AG untuk membuat pendakwaan.

Berhak

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut hadir memberitahu pemberian imuniti terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, AG mempunyai kuasa untuk memberi perlindungan kepada individu yang tampil membuat pendedahan apatah lagi melibatkan pemimpin tertinggi negara.

Malah kata Mahfuz, AG sepatutnya bertindak untuk memberi perlindungan kepada Deepak demi maruah negara dan bukannya memberi perlindungan kepada mereka yang terlibat.

Sebelum ini, Deepak memohon Pakatan Rakyat untuk memberikan jaminan kepadanya untuk diberikan perlindungan sebagai saksi untuk memnolehkan beliau mendedahkan segala yang beliau tahu.

Ekoran itu, Mahfuz bagi pihak PAS bersedia untuk berbincang dengan Deepak mengenainya.

6 Februari lalu, Deepak bertemu dengan Mahfuz dan beberapa pimpinan PAS lagi bagi membincangkan permohonannya itu.

Dalam pertemuan itu kata sepakat telah dicapai peguam PAS akan membantu Deepak membuat permohonan itu kepada Peguam Negara kerana dari segi undang-undangnya Peguam Negara yang berhak berbuat demikian.

Semalam Deepak bertemu dengan Mahfuz dan Asmuni Awi di Pejabat Agung PAS bagi membincangkan permohonan yang hendak dibuat dan hari ini mereka bertiga ke Putrajaya untuk menyerahkan surat permohonan berkenaan.

harakah/-

Tiada ulasan: