27 Jun 2013

Speaker tolak usul pendakwaan terpilih

18 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul pendakwaan terpilih yang dibawa oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Penolakan tersebut dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan kerana kes-kes yang berlaku telah dibawa ke mahkamah dalam masa yang sama sidang dewan masih dalam membahaskan ucapan Titah Yang Di-Pertuan Agong.

Usul yang dikemukakan Hanipa adalah berkaitan penerusan pendakwaan terpilih di bawah Akta Hasutan 1948 yang dijanjikan untuk diganti dengan Akta Keharomian Nasional.

Ianya dikemukakan kepada Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).

Hanipa yang membacakan usulnya itu menegaskan pemimpin yang pro Pakatan Rakyat ditangkap antaranya Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Datuk Tamrin Ghaffar, aktivis Ngo Haris Ibrahim dan mahasiswa Adam Adli dan Safwan Anang yang kritikal kepada Umno BN disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Pendakwaan terpilih ini, katanya telah menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan rakyat Malaysia tentang niat dan kesungguhan kerajaan mengotakan Janji Ditepati untuk memansuhkan akta tersebut diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

Lebih malang lagi katanya, mereka yang pro BN seperti Perkasa yang membuat kenyataan berkecenderungan menghasut melibatkan isu-isun perkauman dan sensitif agama di bawah akta ini tidak ditangkap, disiasat jauh sekali di dakwa di mahkamah.

Antara mereka yang terlibat katanya, seperti kenyataan Presiden Perkasa yang ingin membakar Bible, kenyataan Zulkifli Nordin memperlekehkan kepercayaan Penganut Agama Hindu, dan kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa Lim Kit Siang rasis. 

Bagi Hanipa, perkara ini melibatkan kepentingan ramai kerana kerajaan BN telah berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan yang merupakan undang-undang warisan penjajah, tetapi masih ramai lagi rakyat Malaysia terdedah dengan pendakwaan ini.

"Sekali gus meranapkan 'legitimate expection' mereka untuk tidak didakwa di bawah akta ini," katanya.

Bahkan katanya, usul ini perlu disegerakan kerana sehingga kini tidak nampak akta ini akan dihapuskan sepertimana janji yang dibuat oleh kerajaan BN sedangkan dalam masa yang sama banyak pimpinan Pakatan Rakyat yang kritika pada BN terus didakwa.

Bagaimanapun Pandikar menolak usul tersebut dan mencadangkan ianya dibangkitkan dalam ucapan titah diraja.


harakah/-

Tiada ulasan: