3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Kalau kita fikir betul-betul Pakatan Rakyat patut berterima kasih kepada Dr Mahahir kerana membantu barisan alternatif itu dari dalam UMNO semasa pilihanraya kali ini. Mahathir sekarang sedang sibuk berkempen untuk UMNO yang kebanyakan tindakan beliau itu menjadi ‘counter productive’ untuk UMNO. Keadaan ini ditambah pula dengan tindakan beliau berkehendakkan Ibrahim Ali, Presiden Perkasa menjadi calon BN dalam pilihanraya kali ini. Tindakan Mahathir itu tidak selari dengan perkembangan kemajuan pemikiran rakyat hari ini.
Rakyat tahu UMNO dalam keadaan serba salah dengan kehadiran Dr Mahathir dalam urusan UMNO sekarang ini. Bekas Perdana Menteri itu menjadi beban besar kepada UMNO dan membuatkan parti itu tidak dapat melaksanakan perancangan parti dalam PRU ini kerana terganggu dengan campur tangan Dr Mahathir dalam banyak isu parti. Itulah sebabnya Abdullah Badawi akhir-akhir ini lebih mendapat perhatian sebagai seorang bekas PM yang lebih berhemah dari Dr Mahathir.
Kita bukannya marah kepada Dr Mahathir kerana memilih untuk memihak sebab itu adalah hak individu dalam sebuah demokrasi. Tetapi yang tidak diselesakan oleh banyak pihak jika berkempen biarlah bersandarkan kepada moral dan semangat demokrasi yang betul. Adalah kurang moralnya jika beliau menjadikan isu perkauman sebagai modal kempen beliau.
Kita mempunyai matlamat penyatuan kaum sebagai agenda nasional kita. Oleh itu demokrasi kita ini mesti berlandaskan kepada penyatuan kaum dan jangan sekali-kali memecahkan perhubungan diantara kaum semata-mata untuk demokrasi acuan beliau itu. Mahathir tidak perlu menyentuh isu perkauman kerana selama ini BN sendiri yang memperjuangkan isu ini. Tetapi apabila BN sudah jelas menghadapi tentangan kerana kelemahan yang lain, memilih untuk memecahkan perpaduan kaum itu adalah tindakan yang kurang bermoral.
Dr Mahathir boleh melakukan tentangan terhadap Pakatan Rakyat secara demokratik kerana beliau memihak kepada BN. Itu tidak mengapa, tetapi janganlah hendaknya terkeluar dari lunas demokrasi yang kita sedang perjuangkan. Semata-mata kerana BN menghampiri kekalahan, beliau sanggup membinasakan asas kehidupan bermuhibbah diantara kaum itu.. Dalam satu-satu tindakan kita mesti ada etikanya, ada moralnya dan lebih-lebih lagi ada agamanya. Jangan terkeluar dari garisan kerana keluar garisan itu adalah salah dan kurang bermoralnya.
Kalau hendak ‘memahat itu biarlah diatas garisan dan jika hendak bermain itu mesti berada di dalam kawasan yang ada hadnya’. Dr Mahathir adalah seorang yang begitu ‘senior’ dan beliau perlu mempunyai tata-cara yang baik untuk membantu BN itu. Kalau berhujah itu, jangan berhujah secara loyar buruk. Beliau mesti sedar yang beliau bukannya muda lagi.
Jadilah seorang ‘elder statesman’ yang dihormati. Jika tua kita mesti tunjukkan tua kita. Jangan kita tunjukkan kelemahan kita dengan melanggar budaya dan sopan kita masyarakat timur ini. Rakyat memerhatikan semua tingkah laku pemimpin dan sikap pemimpin itu menjadi isu yang utama yang dijadikan asas untuk memilih.
Demokrasi ini bukan setakat hendak menang dan mengalahkan pihak lawan sahaja. Kita mesti terima demokrasi dengan semangatnya sekali. Kalau rakyat mahukan pihak lain untuk memerintah mereka kita perlu menerimanya. Lagi pun BN sudah memerintah sejak merdeka. Terimalah semangat demokrasi ini dengan baik dan jika sudah sampai masanya bagi BN untuk menduduki petak pembangkang, kita terima sahaja.
Jangan kita pecahkan rakyat berbilang kaum ini. Rakyat pun mahu melihat ‘kepanasan’ politik ini ‘disejukkan’ secepat yang mungkin. Jika ditakdirkan BN menjadi pembangkang jadilah pembangkang yang baik.
PAS dan DAP sejak dulu lagi menjadi pembangkang. Jika kali ini mereka menjadi kerajaan itu bukannya jenayah demokrasi. Mempertahankan kuasa kerajaan dengan memecahkan kaum yang berbilang itu, adalah jenayah. Jika berlaku pergaduhan hasil dari kenyataan Mahathir ini, ia merupakan hasil dari kenyataan yang ber’elemen’kan jenayah.
Memecahkan perhubungan diantara kaum itu merupakan satu tindakan ‘treason’ dari sudut moralnya, atau mungkin dari sudut undang-undangnya. Lebih-lebih lagi ia bersalahan dengan kehendak mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.
Kita terimalah hakikat yang melakukan peralihan kuasa itu bukannya jenayah dan tidak merupakan tindakan jenayah. Kalau Mahathir tidak mahu berperanan sebagai orang tua, biarlah kami yang di bawah ini menjadi orang tua itu.
Sekianlah bunyinya kata-kata kami sebagai orang tua negara ini. Kita ambil alih lah tugas yang sepatutnya dipikul oleh Mahathir itu. Apa yang kami perkatakan ini bukannya untuk kebaikan sesiapa, tetapi untuk kebaikan Mahathir sendiri.
Beliau bukannya bekas Ketua Pengarah KEMAS atau bekas Ketua Pengarah JASA, tetapi bekas Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara. Sepatutnya adalah sedikit perbezaan dengan pemimpin lain jika benar beliau itu seorang negarawan.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan