3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Pagi Jumaat itu, ruang udara Pusat Pentadbiran Persekutuan, Putrajaya dipenuhi dengan pelbagai objek terapung menyerupai watak kartun The Smurfs, monyet, badut dan kad sim menggamit perhatian warganya.
Objek-objek terapung tersebut adalah sebahagian daripada 24 bentuk belon udara panas yang diterbangkan ke udara bersempena Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang diadakan penghujung Mac lalu.
Berlangsung empat hari, pesta ini menyaksikan kesabaran ratusan pengunjung yang sanggup beratur awal pagi untuk membeli tiket bagi menaiki belon udara panas ini walaupun kaunter dibuka jam 7 pagi.
Keterujaan mereka turut dirasai penulis dan jurugambar, Safwan Mansor yang dipelawa oleh penganjur untuk 'terbang' bersama rakan media lain. Setelah mendaftarkan diri dan mengambil pas pelepasan, kami terus dibawa ke tapak pelancaran belon udara panas yang terletak di Presint 2, bersebelahan Monumen Alaf Baru.
Di sini penulis dapat melihat sendiri bagaimana persiapan untuk ‘menerbangkan’ belon udara panas dilakukan dan ternyata proses tersebut bukannya mudah. Lebih 10 belon udara panas sedang disiapkan untuk diterbangkan dengan diisi angin pada ruang atas belon itu supaya mendapat udara yang cukup di samping bantuan gas.
Pesta Belon Udara Panas memasuki edisi kelima tahun ini dianjurkan oleh AKA Balloon Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan beberapa syarikat korporat lain. Sepanjang pesta, dua sesi penerbangan dilakukan iaitu jam 7-9 pagi dan 5.30-7 petang, namun ia bergantung pada keadaan cuaca.
Gementar jadi seronok
Setelah belon udara panas tersedia, tanpa membuang masa, kami berdua dan jurumudi terus memasuki bakul yang boleh memuatkan empat orang untuk terbang. Sungguh teruja pada waktu itu.
Terasa bahang api belon udara panas membakar kulit kepala penulis memandangkan jarak api gas dengan kepala hanya beberapa inci sahaja. Untuk info, belon udara panas menggunakan konsep pembakaran luar di mana bahan api gas mampat dibakar memanaskan udara bagi menolak belon ke atas.
Perasaan teruja sebentar tadi secara tiba-tiba bertukar jadi gementar apabila sedikit demi sedikit belon panas mula terapung meninggalkan tanah. Penulis mula gayat, lalu memaut kemas tiang belon.
Teringat peristiwa ini, penulis senyum sendiri. Namun perasaan itu tidak lama kerana leka dengan keramahan jurumudi dari Holland, Wout Bakker. Mungkin beliau perasan apa yang menyelubungi penulis waktu itu. Berpengalaman 19 tahun dalam mengemudi belon udara panas, Bakker tidak melepaskan peluang menyertai sama pesta tersebut.
“Saya akan pastikan setiap tahun berkunjung ke Putrajaya dan menyertai pesta belon udara panas ini,” katanya.
Leka berborak, tanpa sedar kami sudah berada pada ketinggian 300 kaki dan dapat melihat dengan jelas panorama Putrajaya dari ruang udara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Masjid Putrajaya.
Hampir 30 minit ‘terapung’ di ruang udara Putrajaya, Bakker mengambil keputusan untuk mendaratkan belon panasnya kerana angin mula bertiup bagi mengelakkan sebarang risiko berlaku.
Setelah mengenal pasti kawasan lapang untuk mendarat, Bakker secara perlahan-lahan merendahkan kedudukan belon panasnya. Kawasan lapang berhampiran Putrajaya Sentral menjadi lokasi pendaratan.
Menurut Bakker, penumpang hanya akan dibenarkan keluar dari bakul apabila ia disahkan selamat kerana belon udara panas boleh terapung kembali jika tidak dikendalikan dengan betul.
Acara 'wajib'
Lega. Itulah perasaan kami apabila menjejakkan kaki ke tanah. Lima pembantu Bakker, mengemaskan belon, ternyata ia bukan kerja mudah. Angin yang berada di dalam perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum digulung.
Setelah semua tugasan berjaya, kesemua peralatan belon panas tersebut diletakkan di dalam kenderaan pacuan empat roda yang sedia menunggu sejak awal lagi. Disebabkan belon panas hanya akan ‘terbang’ dua kali sehari, ramai pengunjung yang terlepas peluang untuk menaikinya.
Walau bagaimanapun, terdapat satu kawasan khas untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman menaiki belon panas. Penganjur menyediakan kawasan belon panas terikat, iaitu kawasan di mana belon panas hanya akan membawa penumpang secara statik, iaitu turun dan naik.
Seorang pengunjung dari Ampang, Jacky Lim sudah tiba seawal jam 6.30 pagi di lokasi. Ini merupakan kali ketiga dia dan keluarganya datang dan merasai pengalaman menaiki belon panas terikat walaupun sekejap sahaja.
“Kalau ada lagi tahun depan, saya dan keluarga tidak akan lepaskan peluang ini,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Farah Diyana ketika ditemui berkata, pesta ini platform yang bagus untuk memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Tahun ini saya ambil peluang naik helikopter kerana bagi saya ini pengalaman berbeza dan pesta seperti ini harus diteruskan setiap tahun kerana ia seronok dan bukan selalu peluang seperti ini datang,” katanya.
Antara tarikan lain yang ada pada tahun ini ialah persembahan paramotor, ‘Helicopter Joy Ride’ dan persembahan belon panas kawalan jauh. Selain itu pengunjung berpeluang berjumpa dengan pakar belon panas melalui segmen ‘Meet & Greet the Balloonist’.
Pihak penganjur turut menganjurkan pertandingan seperti pertandingan kapal terbang kertas, cabaran UNO, kuiz, pertandingan merwarna dan melukis dan banyak lagi. Selain itu terdapat pelbagai gerai jualan termasuk gerai cenderamata barangan belon panas.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan