14 April 2013

NGO cadang tarikh undi awal diubah

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa penetapan tarikh undi awal pada 30 April iaitu kira-kira lima hari sebelum undi biasa pada 5 Mei adalah tidak wajar.

Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan berkata, pihaknya juga melahirkan kebimbangan terhadap apa yang dipersoal banyak pihak berhubung kemungkinan berlaku pengundian lebih sekali.

"Apakah jaminan 240 ribu pengundi awal tidak mengundi lagi sekali setelah dakwat kekal yang dicalit di jari mereka hilang setelah lebih 3 hari," soal Edy.

Justeru katanya, SAMM menuntut SPR supaya menetapkan semula tarikh undi awal sekurang-kurangnya pada 2 Mei atau lebih lewat dari tarikh tersebut sebelum hari pengundian biasa bagi menutup segala ruang manipulasi.

PAS sebelum ini juga membangkitkan kebimbangan soal kemungkinan boleh berlaku pengundian lebih sekali bagi pengundi awal memandangkan dakwat kekal yang digunakan mereka difahamkan hanya mampu bertahan tiga hari.

Ini kerana, dakwat yang dicalit pada tangan pengundi awal pada 30 April mungkin hilang dan akan mewujudkan ruang manipulasi terhadap mereka untuk mengundi sebagai pengundi biasa pada 5 Mei.

Ianya juga nyata bercanggah dengan tujuan asal penggunaan dakwat kekal iaitu untuk menutup ruang manipulasi sekaligus menghalang mana-mana individu mengundi lebih dari sekali.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: