14 April 2013

Penendar kantin sekolah dipaksa sertai Umno

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BACHOK: Usahawan, peniaga kecil dan petani di Bachok kini kerap menerima tekanan pemimpin Umno. Ramai petani diugut tidak lagi mendapat baja subsidi kerana hadir pada program ceramah PAS.

Beberapa penduduk yang hadir pada ceramah PAS di Takel, Dun Tawang baru-baru ini memberitahu mereka menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada JKKKP.

“Pemimpin Umno terbabit mengugut tidak mahu lagi memberi baja kepada petani di sini kerana hadir pada program ceramah anjuran PAS.

“Beberapa penduduk menerima SMS berbau ugutan tersebut ketika menghadiri ceramah di Takel baru-baru ini,” kata seorang petani di sini.

Tahun lepas bekas Adun Tawang, Hassan Mohamood mendedahkan petani dipaksa memasang bendera dacing di rumah mereka bagi membolehkan mendapat baja subsidi padi.

Hassan ketika dihubungi memberitahu ramai penduduk di sini mengadu mereka diugut pemimpin Umno peringkat cawangan, akan disekat baja subsidi kerana hadir program ceramah PAS.

Katanya, bukan sahaja petani yang menjadi mangsa ugutan Umno, sebaliknya penendar kantin sekolah juga dipaksa mengisi borang Umno.

“Mereka dipaksa menyokong Umno sekiranya tidak perniagaan akan terjejas. Beberapa pengusaha kantin memberitahu diugut pemimpin Umno.

“Malah ada yang dipaksa berlakon menyerah borang menyertai Umno ketika kehadiran Naib Presiden Umno, Datuk Dr Zahid Hamidi ke Bachok beberapa hari lalu,” katanya.

Akhbar milik Umno hari ini melaporkan seramai 300 ahli dan penyokong PAS di Tawang keluar daripada parti itu dan bertekad menyokong Umno.

Hassan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok berkata, berdasar semakan di setiap cawangan PAS di Dun Tawang tidak ada ahli parti itu yang menyertai Umno.

Katanya, apa yang berlaku beberapa peniaga dalam kalangan penduduk tempatan di Tawang dipaksa mengisi borang Umno bagi mengelakkan perniagaan mereka terjejas.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Hassan menafikan PAS menyogok penyokong Umno dengan memberi habuan sebanyak RM500 kepada seorang wanita Umno di Bachok.

“Tidak pernah berlaku ada jentera kempen muslimat PAS yang memberi wang sebanyak RM500 seperti didakwa Datuk Dr Awang Adek.

“Jentera kempen muslimat PAS tidak membawa wang sebanyak itu ketika kempen dan mereka hanya datang bertemu mata dan bertanya khabar sahaja.

“Tuduhan Ketua Umno Bachok tersebut tidak berasas sama sekali,” katanya.

Sebaliknya sebelum ini seorang penduduk di Kampung Budi mendedahkan wakil kepada Awang Adek beberapa kali datang menemuinya bagi menawarkan wang supaya tidak lagi menyokong PAS.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: