22 Mei 2012

AS: Kami sedia pindah tahanan

1 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Tentera Amerika Syarikat sedia memindahkan tahanan di Guantanamo ke negara asal, jika mereka tidak lagi memberikan ancaman kepada Amerika Syarikat.

Jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Todd Breasseale berkata, kerajaan AS bersedia menerima jaminan daripada kerajaan sesebuah negara yang rakyatnya sedang ditahan di Guantanamo.

“Kami tidak merancang menahan seseorang individu itu lebih lama daripada diperlukan, tetapi kerajaan negara berkenaan perlu memberi jaminan mereka akan mengambil langkah sepatutnya jika rakyat mereka dipindah keluar daripada tahanan.

“Ini kerana kami faham ancaman yang diberikan tahanan-tahanan ini mungkin berubah seiring peredaran masa dan ancaman yang diberikan mereka boleh dikurangkan melalui program sesuai,” katanya dalam jawapan kepada Sinar Harian.

Breasseale berkata, Pentagon mempunyai mekanisme penilaian bagi memastikan AS hanya menahan mereka yang memberi ancaman kepada negara itu dan tidak boleh dipulihkan.

Bagaimanapun, Breasseale enggan menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep dipindahkan kerana menurutnya, ia bercanggah dengan polisi tentera AS.

Pentagon turut menekankan tahanan Guantanamo ditahan di bawah Kebenaran Penggunaan Kuasa Tentera, seperti termaktub di bawah undang-undang antarabangsa semasa konflik bersenjata.

“Penahanan semasa perang telah lama diiktiraf sebagai sah di bawah undang-undang antarabangsa dan tahanan di Guantanamo adalah mereka yang berterusan memberi ancaman kepada kami.

“Dan kami akan terus menahan individu ini bagi memenuhi tanggung­jawab domestik dan antarabangsa AS,” katanya.

Menurut Breasseale, terdapat 169 tahanan yang masih berada di Guantanamo.

Sejak 2002, lebih 600 tahanan dipindah keluar dari Guantanamo selepas Amerika mendapat jaminan keselamatan dan layanan berperikemanusiaan daripada negara yang menerima mereka.

Agency

Tiada ulasan: