21 Mac 2013

CRV 2013 lebih aerodinamik dan elegan

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


CRV 2013

CRV 2013
CRV 2013

Bahagian dalam menyerlahkan kemewahan dan keselesaan.
TAHUN lalu, Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) mencatatkan jualan 34,947 unit kenderaan. Untuk tahun ini syarikat asal dari matahari terbit berkenaan optimis untuk menggandakan angka jualan mereka hampir 90 peratus.

Untuk muka baru 2013 kali ini juga syarikat tersebut bakal melancarkan lima model baharu di mana tiga daripadanya dipasang tempatan (CKD). Model pertama yang dilancarkan ialah CRZ 2013.

Tidak lama kemudian, Honda CR-V generasi ke-4 tiba di pasaran. Nama Honda sendiri tidak begitu asing bagi pencinta automotif tanah air. Begitu juga dengan produk SUVnya (kenderaan utiliti sukan) yang sentiasa memenuhi jangkaan pengguna.

Dalam hal ini, Honda CRV 2013 pantas anda jadikan salah satu pilihan jika sedang mempertimbangkan membeli kereta keluarga. Malah tidak hairan jugalah sebelum dilancarkan secara rasmi, produk itu telah pun menerima hampir 1,000 unit tempahan.

Untuk pengetahuan, CRV merupakan produk CKD pertama keluaran kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka. Ketika itu ia adalah model generasi kedua.

Sehingga kini terdapat sebanyak 34,000 unit model CRV di atas jalan raya tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia,  Yoichiro Ueno berkata model CRV serba baru yang diperkenalkan bakal meningkatkan penanda aras bagi SUV ke tahap lebih tinggi, dengan reka bentuk berani, ruang dalaman yang bertaraf tinggi serta
praktikaliti yang dipertingkatkan dengan prestasi penjimatan bahan api.

“Dari segi reka bentuk, ia lebih aerodinamik dan penampilan elegan adalah gambaran evolusi yang ada pada generasi keempat CRV,” katanya.
Dibina dengan konsep 'SUV Premium Pintar', CRV 2013 berkenaan dipacu dengan enjin 2.0-L i-VTEC bersama transmisi automatik 5-kelajuan. Turut tersedia, butang ECON dan sistem Eco Assist yang merupakan antara ciri-ciri baru yang memberikan penjimatan bahan api.

Sistem Eco Assist pula membimbing pemandu mencapai cara pemanduan yang lebih menjimatkan melalui warna gegelang beriluminasi pada kluster meter, yang bertukar dari warna putih ke hijau untuk menggambarkan penukaran dari gaya pemanduan secara tidak ekonomi ke pemanduan menjimatkan penggunaan bahan api.

CRV serba baharu juga didatangkan dengan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan senyap hasil penambahbaikan yang mengurangkan bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH - Noise, Vibration dan Harshness).

Garisan badan yang diukir dengan lebih mendalam dan jeriji hadapan yang menonjol menyerlahkan sifat moden CRV.

Menjengah ke bahagian belakang, sekali pandang set lampu yang panjang mengingatkan anda kepada model SUV Volvo dan juga penggunaan antena berbentuk sirip di atas bumbung.

Buat masa ini, Honda Malaysia hanya menawarkan enjin petrol 2.0L i-VTEC. Dengan kapasiti berkenaan ia mampu menghasilkan kuasa 155PS pada 6,500rpm dan kuasa kilas 190Nm pada 4,300rpm.

Selain itu, model berkenaan turut menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD).

Menambahkan lagi keselesaan penumpang tempat duduk belakang adalah pengudaraan pendingin hawa di belakang. Ruang kargo boleh ditambah secara dramatik dari 589 liter kepada 1146 liter dan boleh memuatkan dua basikal sebelah menyebelah, menerusi Lipatan
Tempat Duduk Belakang Satu Langkah.

Ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu biru, putih, perak, hitam dan kelabu. Harga atas jalan CRV ialah RM148,800 seunit. Jaminan diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Sebagai respons terhadap maklum balas pelanggan yang mahukan versi prestasi lebih tinggi, Honda Malaysia akan menawarkan varian 2.4L pada bulan Jun hadapan pada harga sekitar RM190,000.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai CRV 2013, layari www.honda.com.my.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: