21 Mac 2013

Tiga pelajar terperangkap berjaya diselamatkan

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tiga pelajar terperangkap berjaya diselamatkan

Pelajar yang terperangkap dalam kebakaran berjaya diselamatkan bomba. Gambar kecil: Anggota bomba mengangkat pelajar yang terperangkap di tingkat 3.
PASIR PUTEH - Tiga pelajar terperangkap dalam kebakaran bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ismail dalam kejadian jam 10.30, malam kelmarin, berjaya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, dengan kekuatan tujuh anggota dan dibantu dua anggota bomba sukarela bergegas ke sekolah tersebut selepas menerima panggilan daripada warden asrama.

Ketika tiba di lokasi, pihaknya diberitahu terdapat tiga pelajar lelaki terperangkap di tingkat tiga.

“Tiga anggota bomba berjaya membawa keluar pelajar terbabit sementara sebahagian lagi anggota memadamkan kebakaran di bangunan asrama lelaki,” katanya.

Ketika itu katanya, kesemua penghuni asrama terdiri daripada 124 pelajar lelaki dan 193 pelajar perempuan berkumpul di medan perhimpunan dan kawasan lapang berhampiran masjid.

Kaharudin berkata, situasi berkenaan adalah latihan kecemasan kepada pelajar bagi menghadapi situasi sebenar kejadian.

“Pihak kami mendapati bangunan asrama ini menepati peraturan bomba dan penghuninya sentiasa bersedia menghadapi detik cemas terutamanya kebakaran,” katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan sekolah atau jabatan membuat permohonan untuk mengadakan programPengungsian Bangunan seperti yang diadakan di sekolah berkenaan.

Dalam program tersebut, Kaharudin turut menyampaikan taklimat dan memberi tunjuk ajar kepada penghuni asrama mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil apabila berlaku kebakaran.

Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Ismail, Hasnah Mohd Yakzan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba kerana menjayakannya dan berbangga kerana asrama sekolah itu merupakan asrama pertama di daerah ini mengadakan latihan itu.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: