03 Oktober 2012

Keputusan mahkamah buktikan ISA zalim - GMI

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menetapkan penangkapan terhadap 5 aktivis di bawah ISA pada tahun 2001 sebagai tidak sah.
Demikian dinyatakan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya menyebutkan tuduhan Ketua Polis Negara pada ketika itu iaitu Tan Sri Norian Mai terhadap kelima-lima aktivis tersebut adalah fitnah dan berniat jahat.

Dalam penghakiman yang dibuat, mahkamah menetapkan kelima-lima mangsa ISA telah diperlakukan secara zalim sepanjang berada di bawah tahanan ISA.

Mereka dipaksa berbogel di hadapan pegawai penyiasat, dipaksa berjalan dengan kaki ayam ke tandas yang kotor, disiasat selama berjam-jam secara berterusan dan bagi yang muslim tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.

Oleh itu mahkamah mengarahkan setiap daripada mereka dibayar pampasan yang setimpal dengan penindasan yang telah mereka alami.


Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menganugerahkan aktivis Hishamuddin Rais dan empat yang lain masing-masing RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka di bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri dan RM30,000 sebagai gantirugi teruk.

Ini menjadikan jumlah gantirugi itu ialah RM4.06 juta.

Bagaimanapun, mahkamah memihak kepada defendan berhubung dengan Seksyen 8 ISA.

Mahkamah juga mendapati kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua
Polis Negara (IGP) ketika itu, Tan Sri Norian Mai ekoran penangkapan plaintif pada April 2001 adalah berunsur fitnah terhadap mereka, kecuali kepada Badaruddin Ismail.

Untuk ini, Hakim Lau anugerahkan RM60,000 sebagai gantirugi am dan RM40,000 bagi gantirugi teruk dan teladan.

Mahkamah juga anugerahkan RM200,000 sebagai kos.

Selain Hishamuddin dan Badaruddin, plaintif lain ialah Saari Sungib, Badrulamin Bahrom dan Tian Chua Chang  yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

“Hal ini menjustifikasikan segala tuntutan yang pernah GMI kemukakan kepada kerajaan Malaysia.

“Dalam episod perjuangan GMI menentang akta zalim ini, GMI telah mendedahkan pelbagai kekejaman dan kezaliman yang berlaku terhadap tahanan ISA,” ujar Syed Ibrahim.

Namun, katanya Kerajaan Malaysia melalui Menteri Dalam Negeri terus menafikan dakwaan GMI tersebut dan terus mempertahankan ISA sebagai undang-undang yang adil.

“Dengan mengambil kira keputusan mahkamah ini, apakah Menteri Dalam Negeri masih boleh menafikan kekejaman berlaku terhadap tahanan semasa ISA?” soal beliau.

Beliau menegaskan, GMI sehingga ke hari ini sentiasa konsisten mendedahkan siri-siri kekejaman yang terpaksa dilalui oleh tahanan yang masih meringkuk di bawah penahanan ISA.

Katanya, namun setiap pendedahan itu tidak langsung dijawab secara bertanggungjawab oleh Menteri Dalam Negeri yang lebih gemar untuk berdiam diri.

Sebagai menghormati keputusan mahkamah, kata Syed Ibrahim seharusnya Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sewaktu kelima-lima aktivis tersebut ditahan pada 2001 memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kedua-dua individu ini perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran yang telah mereka lakukan sehingga menyebabkan aktivis rakyat yang tidak bersalah ditahan dan diseksa secara kejam di bawah ISA,” ujarnya.

Katanya, ISA hanya akan berfungsi sekiranya Menteri Dalam Negeri memberi restu untuk pihak polis menahan seseorang yang dikatakan memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Kuasa inilah yang telah disalah guna oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara pada waktu itu untuk menahan aktivis rakyat yang menjadi musuh politik  kepada Barisan Nasional pada ketika itu.

“Bekas tahanan ISA ini difitnah oleh bekas Ketua Polis Negara sebagai ancaman kepada keselamatan negara dengan memiliki senjata berbahaya seperti pelancar roket, molotov cocktail, dan dilabel sebagai pengganas.

“Semua ini perlu dibersihkan oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, GMI mengira sudah tidak ada hujah yang boleh dijadikan alasan oleh Menteri Dalam Negeri untuk terus menahan tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Tegasnya lagi, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein perlu segera membatalkan segala perintah tahanan dan membebaskan kesemua mangsa kezaliman ISA.

Katanya, keputusan mahkamah itu memberi gambaran bahawa kesemua pertuduhan yang dikenakan kepada bekas tahanan ISA mahupun tahanan semasa boleh diragui.

“GMI yakin keputusan mahkamah ini akan menyemarakkan lagi perjuangan mangsa-mangsa ISA untuk menuntut keadilan,” katanya.

GMI juga, tegasnya tidak menolak akan lebih ramai bekas-bekas tahanan ISA akan tampil untuk mengheret Kerajaan Malaysia ke muka pengadilan sekiranya kezaliman ini tidak diperbetulkan segera.

Menurut Syed Ibrahim, satu-satunya cara untuk kerajaan Malaysia membetulkan segala kesilapan telah berlaku di bawah ISA ialah dengan membebaskan segera kesemua tahanan ISA dan membayar pampasan yang setara dengan kezaliman yang telah mereka lalui.

“Kerajaan juga perlu menutup Kem Tahanan Kamunting yang selama ini telah menjadi simbol kekejaman pihak kerajaan terhadap rakyat.

“Akhirnya, GMI sekali lagi sifatkan keputusan mahkamah ini sebagai kemenangan buat bekas Tahanan ISA, keluarga tahanan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: