16 Oktober 2012

Kewangan Kedah baik, pengurusan memuaskan

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 2011 secara keseluruhannya adalah memuaskan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, baki Kumpulan Wang Disatukan adalah berjumlah RM252.36 juta, berbanding sejumlah RM328.28 juta pada tahun 2010.

Dalam pada itu, peningkatan hasil pada tahun 2011 berjumlah RM20.52 juta atau 4.5% berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus sejumlah RM40.63 juta atau 9.4%.

Ini menyebabkan surplus Kerajaan Negeri pada tahun 2011 berjumlah RM2.39 juta berkurangan mendadak berbanding surplus tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta.

Surplus ini mengurangkan baki defisit Akaun Hasil Disatukan tahun 2011 sejumlah RM2.39 juta menjadi RM295.84 juta berbanding RM298.23 juta pada tahun 2010.

Pengurangan wang tunai sejumlah RM79.93 juta pada tahun 2011 tidak menyebabkan peningkatan ketara Deposit Dalam Negeri, di mana hanya meningkat sejumlah RM4.00 juta menjadi RM59.14 juta pada tahun 2011 berbanding RM55.14 juta pada tahun
2010.

Pada tahun 2011 juga menyaksikan pengurangan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM23.20 juta berbanding pinjaman berjumlah RM249.87 juta pada tahun 2010.

Sementara itu, penemuan audit berhubung tahap prestasi pengurusan kewangan bagi agensi negeri mendapati seperti tahun 2010, sebanyak 17 jabatan atau agensi Negeri dinilai pencapaian pengurusan kewangan pada tahun 2011.

Hasil pengauditan mendapati 3 agensi negeri berada padatahap sangat baik dengan diberi penarafan empat bintang.

Manakala 12 jabatan atau agensi negeri berada pada tahap baik dengan penarafan tiga bintang.

Dua Jabatan Negeri iaitu Majlis Daerah Pendang dan Pejabat Daerah Kulim berada pada tahap memuaskan dengan penarafan dua bintang.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: