01 November 2011

Warga emas dihukum mati

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi, di sini, semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki berusia 55 tahun selepas didapati bersalah mengedar dadah berbahaya seberat 494.81 gram pada Januari tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh Tee Chai Keiong, dari Kampung Lukut Cina, Kota Tinggi, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas pendakwaan pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Muhammad Ashraff Mohd Diah, manakala tertuduh diwakili peguam, Hisham Teh Poh Teik.

Tertuduh didakwa mengedar dadah seberat 494.81 gram iaitu heroin seberat 430.98 gram dan manoacetylomorphines seberat 63.83 gram di hadapan rumah di Kampung Lukut Cina pada jam kira-kira 2.20 petang, 25 Januari 2010.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

sinar harian/-

Tiada ulasan: