01 November 2011

Bila kerajaan nak selesai 'teksi sapu' Thailand

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohamad Yusuf (gambar) kesal dengan sikap kerajaan pusat yang sehingga kini masih belum dapat menyelesaikan isu kebanjiran taksi sapu Thailand memasuki Malaysia lebih dari jarak yang dihadkan.

Keadaan itu katanya, telah menyebabkan punca pendapatan pengusaha teksi di negara ini terjejas teruk khususnya di kawasan Rantau Panjang.

"Kita dah jumpa dengan pengarah JPJ negeri, dah bangkit dalam parlimen, dah maklum kepada menteri, tapi sehingga kini belum ada apa-apa tindakan," katanya kepada Harakahdaily.

Sekurang-kurangnya 50 buah teksi dari Thailand memasuki negara ini melalui imegresen Rantau Panjang setiap hari dengan membawa pelancong ke serata negeri tanpa sebarang halangan dari pihak berkuasa.

Masalah yang didakwa telah berlarutan hampir 11 tahun itu menjejaskan pendapatan lebih 300 pengusaha teksi tempatan di sekitar daerah itu.

Teksi Thailand itu juga dikatakan bebas membawa pelancong dari negara itu ke seluruh Terengganu, termasuk membawa penumpang tempatan.

Tambang yang dikenakan oleh teksi Thailand itu jauh lebih murah daripada yang dikenakan teksi tempatan.

"Mengikut undang-undang, teksi Thailand hanya boleh masuk negara ini dalam jarak tidak lebih 20 kilometer sahaja.

"Apa berlaku hari ini, teksi-teksi Thailand ini masuk ke negara ini sampai ke Gua Musang, Perak dan semua destinasi dalam negara, sedangkan teksi Malaysia tidak dibenar membawa pelancong masuk ke Thailand lebih dari jarak yang dibenarkan," katanya.

Sebelum ini, pada Februari tahun lalu kira-kira 200 pemandu teksi tempatan mengadakan demonstrasi di pintu masuk Jambatan Muhibah di sini untuk menghalang teksi sapu dari negara jiran itu yang ketika itu sedang membawa pelancong ke dalam negara.

Ianya sebagai membantah sikap kerajaan yang gagal bertindak ke atas teksi-teksi negara jiran yang disifatkan mereka "menabur pasir dalam periuk nasi mereka".

Selain itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim juga pernah berjanji jabatannya akan segera memantau dan menyenarai hitam kenderaan dari negara jiran terbabit jika didapati bersalah.

"Pemilik teksi sapu ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta LPKP 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: