01 November 2011

Audit: Melaka River Cruise pernah guna bot tak daftar

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Pihak pengurusan Melaka River Cruise (MRC) didapati telah membayar syarikat pembekal aksesori untuk dua botnya sebanyak dua kali, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Semakan semula audit ke atas baucar bayaran penyelenggaraan bot MRC pada tahun 2009 mendapati bahawa pembekal aksesori bagi bot Puteri Hang Li Po dan Hang Lekir telah menerima bayaran berganda berjumlah RM12,312 pada tahun 2009," petik laporan itu.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya siasatan dilakukan ke atas Perbadanan Pemabngunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur "kecuaian atau penyelewengan dalam hal pembayaran dua kali".

MRC mula beroperasi pada Februari 2006 dan menjelang Disember 2010, ia telah memiliki 40 buah bot pada kos sebanyak RM3.87 juta.

Menurut laporan audit itu, pengurusan MRC pada keseluruhannya adalah kurang daripada memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan seperti bot-bot yang tidak berdaftar dan tidak berlesen serta bayaran berganda untuk penyelenggaraan bot.

Laporan itu juga menyatakan bahawa PPSPM sedar pertindihan bayaran dan telah menghantar notis kepada pembekal pada 16 April, 2010.

Pembekal telah mengakui kesilapan berkenaan dan mengurangkan jumlah yuran penyelenggaraan pada invois seterusnya. Walau bagaimanapun, juruaudit tidak dapat mengesahkan pengurangan jumlah bayaran itu kerana tiada dokumen sokongan yang disediakan.

Semakan audit juga mendapati bahawa sembilan bot yang dibeli sepanjang Mei 2009 hingga September 2009 masih belum berdaftar dan berlesen.

"Bot-bot telah beroperasi tanpa lesen untuk tempoh 13 hingga 17 bulan," petik laporan itu.

Namun PPSPM kemudian memperbetulkan keadaan dan menjelang 1 November, 2010 semua sembilan bot telah didaftarkan dan mempunyai lesen yang sah.

Selain itu, semakan audit juga mendapati bahawa PPSPM telah memperbaharui insurans bagi bot yang dinamakan Tun Teja, bagi tempoh 8 Julai, 2009 hingga 29 Julai, 2011 pada premium sebanyak RM3,464 sedangkan bot berkenaan sebenarnya tidak boleh digunakan sejak awal 2009.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: