01 November 2011

Penduduk terima hak milik kekal

4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

TANAH MERAH, 31 Okt: Seramai 112 dari 315 masyarakat kampung dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Bunga dan Dun Kemahang, menerima sijil hak milik tanah masing-masing tengah hari tadi.

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, pada majlis penyampaian hak milik tanah dan bantuan sosial peringkat Jajahan Tanah Merah.

Seramai 100 orang penerima sumbangan, manakala 20 orang lagi penerima cek skim Takaful Kifaalah.

Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaan negeri tidak menaikkan kadar cukai tanah sejak mentadbir negeri ini 21 tahun lalu walaupun berhadapan dengan kos keperluan yang berkaitan semakin meningkat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak ingin membebankan mereka dengan kenaikan kos tersebut walaupun terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos lain.

“Apa yang penting kita mahu rakyat dapat membayarnya dengan baik demi untuk faedah bersama,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata tanah merupakan keperluan penting pada masyarakat apa lagi pada mereka yang langsung tidak bertanah.

Kerana itu, katanya ada pihak luar bertelagah dengan pihak lain untuk berebut tanah kerajaan negeri.

“Kita sedang memerhatikan perkara ini sebelum kerajaan negeri mengambil sebarang tindakan,”ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: