|
KUALA LUMPUR - Kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam
misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30
pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari
lalu.
Kapal yang bernombor AT296 itu belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke
perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara
rundingan dengan kumpulan itu berlangsung malam tadi.
Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina dalam satu kenyataan berkata,
pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada
Kedutaan Malaysia di Manila semalam.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F. del Rosario dalam satu
kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah serta
keluarga mereka dan pada masa yang sama pihaknya sedang berusaha untuk
menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan.
"Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri," katanya.
Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: "Kami amat mengambil berat
tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan
itu dan kami menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah
air."
Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino serta sukarelawan dan petugas perubatan.
Pada 12 Februari lalu, bot yang mengangkut lebih 100 lelaki
bersenjata yang memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai
Lahad Datu.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Askar Diraja
Sulu dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke
Filipina.
Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas dan
kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas untuk
meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas
kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan
Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian
mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan