25 Februari 2013

Israel minta Palestin reda ketegangan

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


BAITULMUQADDIS - Israel semalam menyatakan pihaknya menghantar tuntutan kepada kepimpinan Palestin supaya mengekang kekacauan selepas beribu-ribu tahanan mengadakan mogok lapar di penjara-penjara Israel, manakala para penyokong mereka bertempur dengan pasukan keselamatan di Tebing Barat yang ditakluki rejim Zionis.

Menurut kenyataan Tel Aviv, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada masa yang sama mengarahkan pembayaran hasil cukai untuk bulan Januari yang dipungut oleh Israel bagi pihak Palestin dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Ia sebagai usaha untuk 'memujuk' PA campur tangan untuk meredakan ketegangan ekoran isu mogok lapar tersebut. 

Protes di Tebing Barat semakin memuncak sebagai tanda sokongan kepada tahanan Palestin yang ditahan Israel dan bagi membantah perluasan penempatan haram Yahudi.

Seorang pegawai berkata, hampir semua tahanan Palestin di penjara-penjara Israel mengadakan mogok lapar semalam selama sehari bagi membantah kematian mengejut seorang tahanan yang didakwa pihak berkuasa penjara meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Seramai 4,500 orang, sebenarnya hampir setiap tahanan (mengadakan mogok lapar)," kata jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman.

Banduan itu, Arafat Jaradat, 30, meninggal dunia secara mengejut di Pusat Tahanan Megiddo, utara Israel.
Satu kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Palestin, Salam Fay- yad berkata, beliau mahukan penjelasan sebenar berhubung kematian bapa kepada dua orang anak itu.

Beberapa saksi dan sumber keselamatan berkata, berita kematian Jaradat mencetuskan pertempuran antara pemuda Palestin dan pasukan keselamatan Israel di Hebron.

Menurut perkhidmatan perisikan Israel, Shin Bet, Jaradat ditahan kerana terlibat dalam insiden baling batu sehingga menyebabkan seorang warga Israel cedera pada November 2012.
- Agensi

Tiada ulasan: