07 Januari 2013
Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan
24 Safar 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Hasrat seorang abang yang mahu mengajak adiknya menghadiri majlis memperingati kematian bapa saudara di sebuah kuil tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa, M Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
Adik mangsa, M Ravi, 40, berkata, abang kedua daripada lima beradik itu yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke pusat bandar tetapi tidak tahu tujuannya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan yang menimpa mangsa selepas menerima panggilan daripada abang sulung dari Kuala Lumpur memaklumkan kejadian.
“Saya terkejut selepas abang sulung memaklumkan Mohgan terlibat dalam kemalangan dan sebaik menerima berita, saya terus bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik sampai, keadaan abang berlumuran darah dan tidak bergerak lagi sedangkan pagi semalam dia menghubungi dan mengingatkan saya supaya tidak lupa mengambilnya untuk ke kuil sempena majlis memperingati kematian bapa saudara.
“Mendiang seorang yang pendiam namun pemergiannya cukup menyedihkan kerana dia meninggalkan seorang balu dan dua anak masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Polis juga ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP).
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan