19 September 2011

Mangsa banjir Pakistan merana

21 Syawal 1432H. [MOD] -

MANGSA banjir melaungkan slogan bantahan dan membuat sekatan jalan raya akibat kelewatan kerajaan Pakistan menghulurkan bantuan di Badin, wilayah Sindh, semalam.


AHLI Jamat-e-Islami Pakistan menurunkan bantuan dari lori untuk membantu mangsa banjir di Karachi.

Terpaksa jual harta, kanak-kanak mengemis, bantuan kerajaan belum tiba

PANGRIO, (Pakistan): Beribu-ribu mangsa banjir di Pakistan yang berjaya menyelamatkan diri berdepan masalah baru apabila bantuan yang lambat tiba memaksa ramai di antara mereka terpaksa menjual harta benda masing-masing untuk membeli makanan.

Pada masa sama, kanak-kanak berdepan risiko penyakit bawaan air tetapi terpaksa membantu ibu bapa dengan mengemis, manakala bantuan daripada kerajaan Pakistan belum menunjukkan tanda akan sampai.

“Kanak-kanak terpaksa mengemis di pasar dan daripada pemandu kereta yang lalu lalang. Tiada siapa datang membantu kami,” kata salah seorang daripada dua juta mangsa banjir di wilayah Sindh, Pakistan, Ahmed Junejo.

Sama seperti kebanyakan mangsa banjir, keluarga Junejo sedar bahawa mereka terpaksa berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan selepas bencana yang melanda.

“Saya hanya mahukan dua keperluan, makanan dan khemah untuk melindungi anak saya daripada panas dan hujan, itu saja. Tiada siapa datang melihat keadaan kami. Kami juga tidak tahu di mana letaknya kem bantuan, malah tiada siapa memberitahu kami mengenai bantuan kepada mangsa banjir. Kami masih menunggu,” katanya.

Kerajaan Pakistan yang berdepan masalah kewangan dilihat bertindak terlalu perlahan ketika membantu mangsa banjir yang setakat ini sudah menyebabkan lebih 300 orang terbunuh, manakala lebih 1.2 juta rumah musnah.

Sikap kerajaan Pakistan itu adalah sama seperti ketika banjir melanda negara itu tahun lalu, apabila pihak berkuasa gagal menghulurkan bantuan sewajarnya untuk mengurangkan kesengsaraan berjuta-juta penduduk, menyebabkan pihak tentera terpaksa campur tangan.

Lebih 800,000 keluarga yang terbabit dengan bencana alam itu terus tidak mempunyai tempat tinggal.

Tentera kembali aktif menghulur bantuan, melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer menggunakan bot untuk menyelamatkan penduduk yang tinggal sehelai sepinggang.

Namun ia tidak masih tidak dapat mengurangkan kesengsaraan keluarga Jonejo yang kini terpaksa berlindung di belakang sebuah stesen minyak.

Beliau kehilangan 20 ekor kambing, yang menjadi punca pendapatan dan membekalkan susu untuk keluarganya. Kini keluarganya tidak mempunyai sebarang pendapatan dan tidak tahu apa harus dilakukan.

Junejo terpaksa menjual telefon bimbitnya dengan harga AS$3 (RM10) untuk membeli makanan. Jumlah itu hanya cukup untuk membeli sedikit tepung dan biskut yang boleh tahan beberapa hari saja.

“Saya mahu menjaga keluarga saya tetapi tidak berdaya. Saya rasa amat sedih melihat keadaan anak saya. Di negara ini pertolongan hanya datang jika anda mempunyai kenalan politik. Orang miskin seperti saya sering kali tidak dipedulikan,” katanya. – Reuters

Tiada ulasan: