19 September 2011

Jangan niat buat kerja untuk jadi calon p'raya

21 Syawal 1432H. [MOD] -



MARANG, 19 Sept: Ahli PAS di segenap peringkat diingatkan agar tidak menjadikan habuan dunia sebagai matlamat perjuangan.
Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Tuan Guru Datuk Harun Taib berkata, ianya termasuk berkerja semata-mata untuk menjadi calon dalam pilihanraya.
“Kita dalam PAS ini kena berjuang kerana Allah SWT dan bukan kerana hendak jadi calon.
"Kita kena sanggup berkorban dengan apa sahaja baik dalam keadaan murah atau mahal,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtima’ Pilihan Raya PAS Kawasan Marang, di Masjid Rusila, baru-baru ini.
Berucap lanjut beliau berkata, setiap ahli PAS perlu sentiasa memperbetul niat dan mentapkan pendirian dalam perjuangan Islam.
Apa yang lebih penting katanya adalah usaha memenangkan perjuangan Islam berbanding matlamat bersifat peribadi.
“Dalam kita (PAS) menghadapi musuh, musuh pilihan raya kita, musuh politik kita dan musuh dalam perjuangan kita ini, kita kena tetap pendirian dalam apa keadaan sekali pun menghadapi perjuangan.
“Kena ingat kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kerja dengan cara berorganisasi yang tersusun akan membantu mempercepatkan kemenangan PAS,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa musuh-musuh Islam pada waktu ini lebih ramai dan ‘senjata’ mereka lebih canggih.
Tetapi, katanya musuh-musuh Islam banyak melakukan maksiat serta kezaliman yang tidak wajar dilakukan oleh pejuang Islam.
“Musuh lebih ramai dari kita, ‘senjata’ (propaganda) musuh lebih canggih dari kita tetapi musuh melakukan maksiat.
“Kita (PAS) jangan melakukan maksiat seperti musuh. Jangan langgar perintah Allah SWT khususnya dalam menghadapi musuh,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Marang, Yahaya Ali, Timbalan Yang Dipertua PAS Marang, Ahmad Ma’aruf Ismail dan Setiausaha PAS Marang, Hasan Jusoh.
H/daily

Tiada ulasan: