11 April 2013

Remaja OKU hilang

30  Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Remaja OKU hilang

Mohd Fikri menunjukkan gambar adiknya, Mohd Faizal yang menghilangkan diri selepas keluar dari rumah di Guchil 1, dekat Kuala Krai, sejak kelmarin.
KUALA KRAI - Seorang pemuda dari Guchil 1, dekat sini, merayu bantuan orang ramai bagi mengesan adiknya yang menghilangkan diri selepas keluar rumah sejak kelmarin.

Mohd Fikri Abdul Aziz, 25, berkata, dia sekeluarga bimbang dengan keselamatan dan kesihatan Mohd Faizal, 19, yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, adiknya tinggal bersama ibu bapa mereka di Guchil 1, dipercayai keluar rumah kira-kira jam 6 pagi kelmarin dan tidak pulang ke rumah semenjak itu.

“Biasanya dia bermain sekitar kawasan rumah dan balik semula, tetapi selepas keluar pagi kelmarin dia masih tak pulang sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Fikri berkata, dia sekeluarga sudah puas mencari Mohd Faizal merata tempat terutama sekitar Guchil, namun sehingga petang semalam, adiknya itu masih gagal dikesan.

Katanya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, awal pagi semalam, dan meminta sesiapa ada maklumat mengenai Mohd Faizal supaya menghubunginya di 013-2901601 atau balai polis berhampiran.

“Adik saya pernah hilang kira-kira dua tahun lalu sebelum ditemui sehari kemudian di Kampung Batu Jong (kira-kira 10 kilometer dari Guchil),” katanya.

Ketua Majlis Setia Rakyat Kelantan (Setia) zon Kuala Krai, Ahmad Bustaman Husin pula berkata, pihaknya akan cuba membantu dengan menyebarkan maklumat berkaitan Mohd Faizal melalui media baru termasuk Facebook bagi mengesan remaja itu.

“Kita juga harapkan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa bagi mengesan Mohd Faizal secepat mungkin, supaya dia dapat pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: