2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kira-kira 120 rakyat Venezuela di tiga negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Brunei dan Thailand, akan mengundi bagi memilih presiden negara mereka Ahad ini.
Bercakap kepada Bernama, Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Manuel Guzman berkata, pada pilihan raya presiden Oktober lalu, pengundi Venezuela di rantau ini hanya berjumlah 87 orang.
Setiausaha Kedua kedutaan Venezuela di sini, Mina Perez berkata, 120 pengundi berkenaan adalah mereka yang berdaftar dengan kedutaan itu dan terdiri daripada mereka yang memiliki permit kerja serta ekspatriat dan keluarga masing-masing.
"Kedutaan ini akan dibuka dari 6 pagi hingga 6 petang untuk membolehkan mereka mengundi," katanya.
Kira-kira 18 juta rakyat Venezuela akan mengundi Ahad ini bagi memilih presiden baharu, berikutan kematian Hugo Chavez akibat kanser pada 6 Mac lalu.
Chavez menyandang jawatan presiden selama 14 tahun. Beliau dipilih semula ke jawatan itu Oktober lalu, tetapi tidak dapat mengangkat sumpah jawatan yang dijadualkan pada 10 Januari kerana masalah kesihatan.
Guzman berkata, pilihan raya itu akan menyaksikan calon Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), Nicolas Maduro, yang juga pemangku presiden, dan calon pembangkang, Henrique Capriles, bertanding untuk jawatan berkenaan.
Katanya, suasana politik di negara 29 juta penduduk itu kini stabil hasil amalan demokrasi, yang memperuntukkan kebebasan akhbar dan kempen pilihan raya secara aman.
Guzman berkata, pilihan raya itu perlu diadakan untuk membolehkan kerajaan terus menambah baik kualiti hidup rakyat melalui program transformasi dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.
Katanya, rakyat Venezuela kini semakin sedar tentang hak mereka, terutama hak dari segi politik dan sosial.
Ditanya tentang rancangan Maduro sekiranya beliau menang, Guzman berkata, pemangku presiden itu akan meneruskan projek yang sedang dilaksanakan bersama negara yang diberi keutamaan oleh mendiang Chavez seperti Malaysia, China dan Vietnam.
Katanya, kerajaan negara itu sedang mengkaji untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan dan pelancongan memandangkan kedua-dua negara memiliki potensi besar dalam sektor itu.
Mengenai pelancongan, Guzman berkata, Venezuela memiliki landskap menarik, yang ingin beliau promosikan kepada rakyat Malaysia.
"Kami mempunyai gunung-ganang yang diselimuti salji, pantai yang indah di utara dan hutan di selatan, yang pasti menarik minat rakyat Malaysia," katanya.
Guzman berkata, Malaysia pula memiliki pengalaman luas dalam projek pembinaaan infrastruktur dan perniagaan, yang beliau percaya memberi kelebihan kepada negara ini untuk merebut peluang pelaburan di Venezuela.
Mengenai kerjasama dalam bidang akademik, Perez berkata, kerajaan Venezuela sedang mengkaji kemungkinan untuk mengadakan program pertukaran pensyarah antara universiti Venezuela dan Malaysia.
"Setakat ini, kami menjalin hubungan dengan Lim Kok Wing University, yang menawarkan biasiswa kepada pelajar Venezuela yang menuntut di situ. Mereka juga meminta profesor Venezuela datang ke Malaysia," katanya.
Perez berkata, kedutaan itu juga mengadakan kelas bahasa Sepanyol secara percuma untuk rakyat Malaysia yang bertugas di institusi kerajaan.
Katanya, rakyat Malaysia kini semakin meminati budaya Amerika Latin, termasuk bahasa Sepanyol, tarian Salsa dan telenovela. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan