2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PRU13 mengalami dua kelainan. Pertama seperti yang digambarkan oleh tajuk media: PRU13 dijangka paling sengit dalam sejarah negara. Kedua, sungutan beberapa pihak: Tempoh kempen terlalu lama.
Sebenarnya kedua-dua sungutan atau pandangan ini telah berlaku amat lama sudah. Keadaan tegang dan pertelagahan hebat telah pun berlalu sejak lama iaitu sesudah selesainya PRU12 dulu lagi, "peperangan" di antara parti yang berlawanan telah bermula, dan nampaknya tidak pernah reda atau terdapat tanda-tanda akan berhenti.
Cuma kebenarannya mungkin betul iaitu memanglah keadaan akan menjadi semakin marak dan panas, segala kata nesta dan tuduh-menuduh akan menjadi semakin bertambah dan membesar.
Gendang raya yang dipalu selama ini tiba-tiba menjadi gendang perang yang amat gempila sekali seperti helilintar membelah bumi.
Kelainan yang kedua sekurang-kurangnya dibandingkan dengan PRU12 lalu ialah tempoh masa untuk berkempen agak panjang kali ini, 15 hari dibandingkan 13 hari PRU yang baru lalu. Hal ini menjadi terlalu lama bagi orang yang telah biasa dengan sekali dua PRU yang lalu, tetapi bagi orang yang selama ini mencari kesalahan SPR, termasuk tempoh berkempen yang dikatakan terlalu singkat, maka tempoh tersebut yang telah dipanjangkan tentulah disambut baik, win-win...
Sebenarnya kedua-dua kelainan ini mungkin ada positif dan negatifnya, hanya masyarakat dan rakyat negara kita sendiri yang akan menentukannya.
Hubungan tempoh kempen yang lebeh lama dengan keadaan yang sengit bagi PRU kali ini ialah meningkatnya ketegangan diantara rakyat, terutamanya bagi penyokong-penyokong parti politik yang bermusuhan.
Pasukan keselamatan tentulah terpaksa menggandakan kerahan tenaga dan bilangan anggotanya di seluruh negara. Ujian yang paling getir tentulah akan mencabar pasukan keselamatan kali ini, terutamanya kerana selama ini PRU tidaklah sesengit ini.
Namun apa-apa pun, ketegangan dan kepanasan suasana yang berlaku harap-harap tidaklah membawa kepada kekacauan yang melampaui sempadan yang selama ini menjadi amalan dan budaya kita, iaitu persaingan secara aman dan terkawal.
Kita bimbang bahawa rakyat kita yang telah dilatih dan diajak berdemonstrasi secara kekerasan yang agak melampaui batas-batas susila dan kesopanan budaya dan adab kita, kali ini akan membawa semangat itu ke dalam gelanggang negara kita semasa kempen dan hari mengundi nanti, sungguh pun kita percaya bahawa pasukan keselamatan kita akan mengawalnya.
Di beberapa buah negara lain, kita sering menyaksikan keganasan ketika berlangsungnya pilihan raya seperti ini yang membawa kepada keganasan berdarah dan mengorbankan nyawa rakyat. Gejala tidak bertamadun ini seolah-olah telah menjadi satu aliran biasa ketika rakyat negara ketiga menghadapi pilihan raya.
Terdapat tembakan yang membunuh calon, yang memeras ugut, pertempuran bersenjata dan sebagainya.
Budaya Melayu dan Islam selama ini menguasai bangsa dan rakyat kita, dan kerana itulah budaya bertolak ansur, bertimbang rasa, mampu membentuk pembangunan bangsa kita selama ini, sehinggakan negara kita yang agak unik dengan komposisi kaum dan agama yang pelbagai ini masih dapat hidup dan bergerak dalam aman damai dan harmoni sekali.
Oleh itu, percikan budaya asing dan tidak beragama dan beradat seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain, dan yang kelihatan percikannya di dalam negara kita ini, haruslah kita awasi, dan saya percaya para aktivis politik dan kepimpinan parti politik haruslah menunjukkan contoh teladan yang baik dalam hal ini.
Keamanan dan kesejahteraan mengambil masa yang lama untuk ditegakkan sehingga menjadi budaya kita rakyat negara ini.
Tetapi keganasan dan kebiadaban akan dapat merosakkan kesejahteraan itu dalam masa yang amat singkat sekali. Jangan kerana perebutan kuasa politik dan kepentingan kelompok yang sempit akan membawa kepada kehancuran dan kehilangan tamadun bagi negara dan rakyat yang tercinta ini.
Itulah harapan rakyat yang bermoral dan bersopan, yang cintakan perdamaian dan keamanan, yang cintakan budaya bangsa dan ajaran agamanya yang suci. Inilah juga sebenarnya cabaran yang akan melanda negara kita ini, terutamanya oleh tangan-tangan luar yang cemburukan kemajuan dan pembangunan negara kita dalam semua aspek selama ini.
Malah inilah kemuncak segala konfrontasi dan kecaman yang selama ini dilemparkan kepada pemerintah dan agensi-agensinya yang tidak mempunyai kaitan dengan politik, namun telah dipolitikkan sebegitu rupa sehingga meninggalkan persepsi yang salah di dalam kepala rakyat kita tentang jentera kemanan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan dasar pelajaran, pertahanan negara dan seluruh jentera Kerajaan, seolah-olah semuanya korup dan tidak berwibawa..
Rakyat yang rasional, berfikiran waras dan tidak terpengaruh dengan emosi sempit saja yang benar-benar dapat memahami hal ini. Harap-harap golongan ini merupakan kumpulan majoriti rakyat kita, yang akan mengatasi golongan fanatik melulu, tanpa ilmu dan hikmah... Amin, Amin Ya Rabbal 'Alamin...
* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan