13 April 2013

Geng Ah Soon diberkas

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Geng Ah Soon diberkas

Amiruddin (dua, kanan) menunjuKkan senjata dan barangan dirampas.
AMPANG – Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang dan merampas tujuh kereta mewah bernilai lebih RM1.5 juta selepas menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali ‘Geng Ah Soon’.

Turut ditahan, tiga ahli kumpulan terbabit termasuk ketua mereka, Ah Soon.

Tangkapan dibuat susulan siasatan ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier ditinggalkan ahli geng itu di Jalan Chan Sow Lin pada 4 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, tiga suspek itu ditahan selepas polis mengesan sebuah kereta Toyota Camry berlegar dalam keadaan mencurigakan di kawasan Bukit Antarabangsa, di sini, Isnin lalu.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui pelbagai peralatan pecah rumah, sebilah parang panjang, komputer riba, walkie-talkie dan beberapa set kunci kereta.

“Kita kemudiannya menyerbu rumah suspek dan menemui 13 kunci pelbagai jenis kereta serta sebuah kereta Proton Waja dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 17 Mac lalu.

“Serbuan kedua dibuat di sebuah rumah di Serdang dan kita menemui sebuah kereta Mercedes Benz C200 dipercayai digunakan suspek semasa melarikan diri dalam kejadian di Jalan Chan Sow Lin,” katanya.

Amiruddin berkata, kereta Mercedes Benz C200 itu dilaporkan dicuri di Wangsa Melawati pada 2 April lalu.

Menurutnya, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Seri Kembangan pada Selasa lalu dan menahan empat lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 39 tahun yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan Geng Ah Soon.

"Hasil soal siasat, polis menemui sebuah kereta Proton Perdana dan Toyota Altis di tempat letak kereta di Jalan Sungai Besi serta sebuah kereta BMW 320i di Batu 9, Cheras, kelmarin.

“Dengan penahanan lapan suspek itu, kita berjaya selesaikan 15 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar Lembah Klang. Semua suspek didapati positif dadah itu direman sehingga Isnin depan," katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: