2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang mematahkan cubaan menyeludup keluar 17 rakyat Iraq apabila menahan dua bot pancung di Sungai Chondong Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam.
Mereka yang terdiri daripada 12 lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak berusia sembilan hingga 50 tahun itu memasuki negara ini secara sah sebulan lepas dan dipercayai ingin ke negara ketiga melalui Indonesia.
Malaysia dijadikan sebagai negara transit, kata Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said.
Beliau berkata, pasukan polis marin yang sedang menjalankan Ops Pensura dengan maklumat risikan yang diperolehi menahan dua bot tidak bernombor itu pada jam 9.30 malam.
"Semasa bot itu dihampiri, dua tekong warga Indonesia bertindak pantas dengan terjun ke laut untuk meloloskan diri tetapi seorang daripada mereka berusia 42 tahun berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis percaya rakyat asing itu membayar antara RM700 hingga RM900 seorang kepada sindiket penyeludupan manusia itu.
“Kesemua yang ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2010) itu dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PGM di Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut,” katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan