13 April 2013

Warga emas tanding Bebas

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Warga emas tanding Bebas


Md Nasir meletakkan dua model kapal terbang yang akan digunakan sebagai lambang apabila bertanding calon Bebas Dun Guchil ketika berceramah di Kampung Batu Balai, Kuala Krai, ke
KUALA KRAI - Seorang warga emas dari Kampung Batu Balai, di sini, Md Nasir Ahmad mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas di Dun Guchil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.


Md Nasir, 65, atau lebih dikenali Pak Long Batu Balai mengumumkan keputusan itu pada majlis ceramah di pekarangan rumahnya, dekat sini, malam kelmarin.



Jika jadi kenyataan, mungkin berlaku pertembungan empat penjuru antara Md Nasir, calon Barisan Nasional (BN), seorang lagi calon Bebas dari Pas dan PKR selaku penyandang kerusi Dun itu.



Sebelum ini, Ketua Pas cawangan Guchil Hulu, Muhamad Bustaman Yaacob, 53, mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di Dun Guchil, sekali gus menentang calon PKR, rakan sekutu parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.
Md Nasir berkata, niatnya bertanding adalah untuk memiliki ‘kuasa’ bagi menyatupadukan dan memperbetulkan masyarakat terutama penduduk setempat ke arah lebih baik.



“Saya pernah cuba perbetulkan apa tidak kena dalam masyarakat sebelum ini, tetapi tidak dihiraukan.



“Sebab itu, saya ambil keputusan bertanding pilihan raya sebagai calon Bebas,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai calon Bebas Dun Guchil di Kampung Batu Balai, kelmarin.



Program asalnya dijadual bermula jam 2 petang ditunda kepada 10 malam dan dihadiri kira-kira 20 penduduk.
Md Nasir berkata, dua borang pencalonan sudah diambil sebagai tanda kesungguhannya bertanding atas tiket Bebas dan akan menggunakan lambang kapal terbang.



Ditanya potensi untuk menang, dia yakin berpeluang atas beberapa faktor termasuk jawatannya sebelum ini sebagai Setiausaha Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Ulu Kelantan.



“Selain kenalan dalam Rela Ulu Kelantan ramai di sini dan kini berusia lebih 60 tahun, saya juga harapkan sokongan kawan, penduduk dan saudara mara,” katanya.



Mengulas kemungkinan akan berlaku pertembungan empat penjuru, bekas guru pada zaman British itu berkata, dia sedia berdepan mana-mana parti dan sesiapa sahaja calon.



Md Nasir pada ucapannya sebelum itu pula berkata, hasrat bertanding sebagai calon Bebas sudah dipendamnya sejak 12 tahun lalu sebelum memutuskan PRU13 kali ini waktu paling sesuai.



“Kalau orang tanya kenapa tak bertanding masa muda, saya kaji selidik dulu sebelum bertindak.



“Saya tengok parti politik sekarang macam jongkang-jongket, jadi 5 Mei (hari mengundi) nanti, siapa yang setuju dengan saya, kita pakat undi kapal terbang,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: