13 April 2013

Manifesto: PKR cabar TPM berdebat

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
HULU YAM – PKR mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdebat dengan Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berhubung isu manifesto dan penurunan harga kereta.

Penyelaras PKR Dun Batang Kali, Khalid Jaafar berkata, terdapat dakwaan daripada Muhyiddin kononnya Pakatan Rakyat (PR) meniru manifesto Barisan Nasional (BN), jadi untuk mengelak kekeliruan dan memberi penjelasan kepada rakyat debat adalah ruang terbaik.

“Rafizi (pada awalnya) mengatakan manifesto BN itu ciplak atau tiruan manifesto PR, kemudian Muhyiddin buat kenyataan PR tiru BN.

“Jadi rakyat tentunya nak tahu siapa tiru siapa. Kita mahu mereka berdebat untuk kemukakan hujah masing-masing. Kemukakan siapa sebenarnya yang meniru siapa,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKR di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Parlimen Hulu Selangor, Md Yusof Sarman; K Gunasekaran dan Datuk Dr K Ramachandran.

Khalid yang juga calon Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, undangan debat itu bertujuan merungkai kesahihan kerajaan atau parti mana sebenarnya yang meniru kandungan manifesto.

“Kita nak tahu sama ada Timbalan Perdana Menteri ini faham atau tidak (mengenai kaedah penurunan harga kereta).

“Dalam manifesto kita antara faktor terpenting juga adalah untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan cukai eksais iaitu punca harga kereta begitu tinggi dan tidak munasabah serta membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri mengatakan harga kereta akan diturunkan melalui proses Asean Free Trade Area (Afta).

“Tapi, sebenarnya, Afta ini hanya melibatkan cukai import bukan cukai eksais, jadi kita nak tahu sama ada Timbalan Perdana Menteri ini tahu atau tidak bezanya antara cukai eksais dengan cukai import yang menjadi punca kenaikan harga kereta begitu tinggi dalam pemerintahan BN,” katanya.

Katanya, PR adalah sebuah parti yang ilmiah dan saintifik serta tidak akan membuat tuduhan melulu terhadap sesuatu perkara.

Menurutnya, sekiranya PR mengatakan manifesto BN itu meniru, maka bukti akan dikemukakan.

“Kita buat kajian, dalam manifesto BN ada 157 janji.

“22 atau 14 peratus daripadanya adalah janji baru, kemudian 112 program (71 peratus) adalah yang sedia ada dan bukan manifesto lagi.

“Daripada 157 itu, 23 ditiru daripada PR iaitu 15 peratus, jadi yang diciplak itu lebih banyak daripada yang baru,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: