Prof. Wu Zongyu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China
Kursus bahasa Melayu yang pertama bagi 19 orang mahasiswa yang baru ini disampaikan oleh pakar bahasa Melayu yang terkenal di China, Prof. Wu Zongyu yang juga Pengarah Pusat Pengajian Melayu China dari BFSU. Prof. Wu Zongyu ketika diwawancara oleh wartawan CRI berkata: "Jurusan bahasa Melayu buat pertama kalinya ditawarkan di Universiti Guangxi pada tahun ini. Pusat Penganjian Melayu China berkewajipan untuk membantu usaha pengajian bahasa Melayu di sana kerana kami bertanggungjawab atas pengembangan bahasa Melayu di China. Perkara ini mampu merapatkan hubungan antara rakyat China dengan kaum Melayu, malah hubungan antara kedua-dua negara. Kini, semakin ramai remaja China menunjukkan minat kepada bahasa Melayu, Mereka dapat memberikan sumbangan kepada persahabatan China-Malaysia. Oleh yang demikian, kami bersedia memberikan bantuan kepada semua institusi pengajian tinggi di China yang ingin menawarkan kursus bahasa Melayu."
Prof. Huang Xiulian
Canselor Institut Bahasa-Bahasa Asing Universiti Universiti Etnik-Etnik Guangxi Guangxi, Prof. Huang Xiulian memberitahu wartawan bahawa hubungan kerjasama dan pertukaran antara Guangxi dengan negara-negara ASEAN menjadi semakin erat beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini terjadi selepas Nanning, ibu kota Guangxi, diisytiharkan sebagai tempat tetap bagi penganjuran Ekspo China-ASEAN dan perkembangan proses penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Oleh hal yang demikian, Universiti Etnik-Etnik Guangxi menawarkan jurusan bahasa Melayu memandangkan permintaan yang semakin bertambah terhadap tenaga manusia yang mampu menggunakan bahasa dari pelbagai negara anggota ASEAN. Prof. Huang Xiulian berkata: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan siap ditubuhkan, pada asasnya menjelang tahun 2010. Guangxi yang lokasinya menghubungkan China dengan negara ASEAN dijangka dapat menjalinkan hubungan yang semakin erat dengan ASEAN, baik dari segi politik, ekonomi, maupun dari segi kebudayaan. Bahasa Melayu digunakan secara meluas di rantau ASEAN. Selain daripada Malaysia dan Brunei Darussalam, ia juga boleh digunakan di Indonesia dan Filipina. Memandangkan hal yang sedemikian, kami merasakan amat perlu untuk menawarkan jurusan bahasa Melayu di Universiti kami."
Menurut Prof. Huang Xiulian, semua pelajar yang mengikuti jurusan bahasa negara-negara ASEAN di Universiti Etnik-Etnik Guangxi diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran selama setahun di seberang laut, yakni di negara bagi bahasa yang berkenaan. Hal ini akan membantu mahasiwa untuk menjadi lebih mahir dan cekap menggunakan lisan dan mengetahui secara dekat dan lebih mendalam tentang masyarakat tempatan.